Assalamualaikum dan salam sejahtera....
Dalam hidup kita sebagai seorang muslim,hidup kita takkan pernah lari daripada ujian.Jika kita diuji dengan kekayaan,maka kita bersyukur.Jika kita diuji dengan kesusahan,contohnya ditimpa penyakit,maka kita bersabar,mencari penawarnya,dan bertawakal kepada Allah swt.Para ulama dan ahli ibadah berpendapat,bahawa ujian ini dapat dapat memanfaatkan orang yang diuji di akhirat kelak jika mereka istiqamah dalam bersabar ataupun bersyukur dalam menghadapi ujian mereka.InsyaAllah kita akan diberi pahala yang setimpal.
Mula-mula ingin saya sentuh mengenai maksud syukur.Syukur dari segi bahasa bermaksud berterima kasih.Dari segi istilah pula syukur bermaksud menggunakan nikmat yang dikurniakan oleh Allah dengan tujuan mentaatiNya.
Ada tiga cara untuk bersyukur.Yang pertama adalah melalui hati,yang kedua melalui ucapan dan yang ketiga melalui perbuatan.Bersyukur dengan hati adalah mengakui bahawa semua nikmat yang kita dapat adalah daripada Allah S.W.T atau tidak mengingkari bahawa rezeki tersebut datang daripadaNya.Bersyukur dengan ucapan dapat dilakukan dengan cara mengucapkan Alhamdulillah yang bermaksud segala puji hanya bagi Allah.Rasulullah s.a.w bersabda, " barangsiapa mengucapkan subhanallah maka bagi 10 kebaikan,barangsiapa membaca Lailahaillallah 20 kebaikan dan Alhamdulillah 30 kebaikan.Bersyukur melalui perbuatan pula adalah menggunakan tubuh yang dianugerahkan oleh Allah ini untuk benda-benda yang baik.Menurut iman Al Ghazali,terdapat 7 anggota yang dapat dimaksimumkan untuk bersyukur iaitu mata,telinga,tangan,perut,kemaluan,kaki dan lidah.
Kenapa kita perlu bersyukur?
1)Kita diciptakan oleh Allah supaya bersyukur.Ini selari dengan firman Allah S.W.T
" Dan Allah mengeluarkan kamu dari perut ibumu dalam keadaan tidak mengetahui apa pun,dan Dia memberi kamu pendengaran,penglihatan dan hati agar kamu bersyukur"
(An Nahl:78)
2)Sesuatu kaum yang bersyukur tidak akan diazab oleh Allah
مَا يَفْعَلُ اللَّهُ بِعَذَابِكُمْ إِنْ شَكَرْتُمْ وَآَمَنْتُمْ وَكَانَ اللَّهُ شَاكِرًا عَلِيمًا
"Mengapa Allah mahu menyiksamu,jika kamu bersyukur dan beriman?Dan Allah adalah Maha Mensyukuri lagi Maha Mengetahui"
(An Nisa:147)
3)Allah akan menambahkan nikmat kepada orang-orang yang bersyukur
وَإِذْ تَأَذَّنَ رَبُّكُمْ لَئِنْ شَكَرْتُمْ لَأَزِيدَنَّكُمْ وَلَئِنْ كَفَرْتُمْ إِنَّ عَذَابِي لَشَدِيدٌ
"Dan (ingatlah juga), tatkala Tuhanmu memaklumkan: "Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah (nikmat) kepadamu, dan jika kamu mengingkari (nikmat-Ku), maka sesungguhnya adzab-Ku sangat pedih"."
( Ibrahim: 7)
4)Kebaikan bersyukur itu untuk kebaikan manusia itu sendiri.Jika kita tidak bersyukur,kita sendirilah yang akan rugi.
وَمَنْ يَشْكُرْ فَإِنَّمَا يَشْكُرُ لِنَفْسِهِ وَمَنْ كَفَرَ فَإِنَّ اللَّهَ غَنِيٌّ حَمِيدٌ
"Dan barang siapa yang bersyukur (kepada Allah), maka sesungguhnya ia bersyukur untuk dirinya sendiri; dan barang siapa yang tidak bersyukur, maka sesungguhnya Allah Maha Kaya lagi Maha Terpuji."
( Luqman: 12)
Sedangkan Rasulullah s.a.w pun sentiasa bersyukur,apatah lagi kita sebagai hamba yang kerdil ini.
Terdapat dalam Sahih al Bukhari, dari Aisyah ra, dia berkata: "Nabi shallallahu 'alaihi wasallam berdiri solat (malam) hingga kedua kaki beliau bengkak." Lalu Aisyah berkata kepada beliau, "Kenapa engkau lakukan ini, ya Rasulullah, bukankah Allah telah mengampuni dosamu yang lalu dan yang akan datang?" Lalu beliau menjawab:
أَفَلَا أُحِبُّ أَنْ أَكُونَ عَبْدًا شَكُورًا
"Tidak bolehkan aku senang menjadi hamba yang bersyukur." (HR. Bukhari)
Kita tidak mahu jadi seperti Firaun,yang diberikan kerajaan yang kuat di Mesir,diberi keistimewaan oleh Allah dengan tidak pernah jatuh sakit,tetapi dia kufur dengan harta yang dimilikinya.Dia menyuruh rakyatnya menyembahnya sebagai tuhan.Akhirnya dia ditenggelamkan dalam Laut merah ketika sedang mengejar Nabi Musa dan kaumnya.
Kita juga tidak mahu jadi seperti Qarun,yang pada mulanya taat beribadah kepada Allah,tetapi apabila dia kaya,dia mengatakan kekayaan itu adalah daripada kepandaiannya sendiri.Padahal,sewaktu dia seorang yang taat beribadah dulu,dia telah pergi kepada Nabi Musa ,dan meminta kepada Nabi Musa supaya dia dikurniakan harta yang banyak,supaya dia ada lebih banyak masa untuk beribadah dan dapat membantu orang lain.Tapi setelah kaya,daripada menyembah Allah yang Esa dia menyembah berhala-berhala pula.Akhirnya dia dan hartanya ditenggelamkan ke dalam bumi oleh Allah s.w.t
Seterusnya mari kita lihat maksud sabar pula.Sabar dari segi bahasa adalah menahan.Dari segi istilah pula,sabar bermaksud kekuatan jiwa untuk menahan diri daripada berakhlak buruk apabila menghadapi sesuatu.
Antara jenis-jenis sabar
1)Sabar dalam melaksanakan perintah agama
Dalam melaksanakan perintah agama,kita mestilah tidak mengeluh.Kita mestilah cuba untuk memperbaiki amalan-amalan kita contohnya solat.Tuhan sendiri memerintahkan kita untuk bersabar semasa mengerjakan solat.
"Jadikanlah sabar dan solat itu penolongmu.Dan sesungguhnya yang demikian itu sungguh berat,kecuali bagi orang-orang yang khusyuk."
(al Baqarah:45)
Begitu juga dalam menjauhi larangan agama.Seorang yang bersabar akan cuba mengelakkan daripada melakukan perkara-perkara larangan tanpa memberi pelbagai dalih.
2)Sabar dalam ujian yang dihadapi.Jika kita ditimpa ujian yang mendukacitakan,kita hendaklah bersabar.Kita tidak boleh terlalu larut dalam kesedihan kerana pasti ada anasir-anasir yang akan cuba menggunakan kesedihan kita untuk lalai daripada mengingatiNya atau menjadikannya sebab untuk menyalahkan takdir.
Namun begitu,apabila kita melihat suatu kezaliman berlaku dan kita mendiamkan diri,itu tidak dikira sebagai bersabar,tetapi lebih kepada dayus.Sabar itu juga sebenarnya tindakan menentang kezaliman,tetapi dengan akhlak yang mulia.
Sabar ini juga seperti iman,kadang-kadang datang,kadang-kadang pergi,kadang-kadang tinggi kadang-kadang rendah.Cara-cara meraih sabar adalah:
1)Sentiasa prihatin dengan keadaan diri dan sentiasa menasihati diri sendiri
2)Ahli-ahli keluarga atau rakan saling mengingati supaya bersabar dengan menggunakan ayat-ayat Quran.
3)Memohon pertolongan daripada Allah
"Dan bersabarlah dan tiadalah kamu dapat bersabar melainkan dengan pertolongan Allah"
(Al Nahl : 127)
Kita dapat melihat contoh orang yang bersabar daripada Nabi Ayub.Baginda pada mulanya hidup bahagia dan mempunyai harta yang cukup.Akan tetapi,harta baginda semakin berkurang,dan anak-anaknya meninggal,dan ditimpa penyakit sopak.Akan tetapi,baginda tetap percaya kepada Allah dan menganggap bahawa ada hikmah disebalik kedukaan ini.Akhirnya kedukaan baginda diganti dengan kebahagiaan dan baginda diangkat darjat sebagai orang yang sabar di atas ujian yang menimpa.
Sebelum mengakhiri artikel ini,ada sebuah hadis yang sungguh cantik untuk dikongsi bersama.
Dari Abu Yahya,Syuhaib bin Sinan,Rasulullah s.a.w bersabda
" Sungguh mempesonakan urusan orang yang beriman.Kerana semua urusannya adalah baik baginya.Dan hal yang demikian itu hanya dimiliki oleh orang-orang yang beriman.Jika dia mendapat kebaikan,dia akan bersyukur,kerana hal itu yang terbaik baginya,jika dia mendapat kesulitan,maka dia bersabar,kerana dia tahu perkara itu baik baginya."
HR Muslim.
Sabar dan syukur merupakan kayu pengukur sejauh mana kita lulus dalam ujian yang diberikanNya.Sebagaimana kita berusaha hendak lulus dalam klausur,begitu juga kita mestilah berusaha untuk lulus dalam ujian yang sebenar-benar ujian ini.Kita selalu risau jika tidak lulus dalam ujian/peperiksaan yang kita hadapi.Tetapi bagaimana pula jika kita gagal dalam ujian yang bakal menentukan kehidupan kita selama-lamanya di akhirat kelak?Inilah persoalan yang harus kita tanamkan dalam diri kita semua,sebab kadang-kadang kita ambil mudah mengenai perkara tersebut.Sekian terima kasih.