28 Dec 2010

Awal Muharram Detik Permulaan



Walau di mana kita berada,kita berada di bumi Allah S.W.T. Indahnya kita sebagai orang Islam, walau dimana pun kita berada,kita ada pegangan, ada jati diri. InsyaAllah, kita bukan sahaja baik terhadap diri sendiri, bahkan menjadi motor atau dinamo kepada orang lain iaitu dapat memberi manfaat kepada orang di sekeliling.

Sepertimana yang kita tahu juga, haiwan dan tumbuh-tumbuhan selalu bertasbih dan bersyukur kepada Allah. Apabila kita berada di bumi, di tempat orang kafir, dimana tiada orang muslim di situ, sudah tentu alam sekitar ini berasa gembira dengan kehadiran kita, apabila kita bertasbih dan memuji Allah S.W.T.

4 Prinsip Penting Sebagai Orang Islam

Kita sepatutnya bersyukur kerana dilahirkan sebagai orang muslim.Allah telah mengambarkan bahawa orang Islam adalah orang yang beruntung dalam surah wal Asr.

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang
1)Demi Masa!
2)Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian
3)Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.

Allah telah menyatakan bahawa orang Muslim tidak akan rugi.Tapi orang muslim yang macam mana?
Tidak bolehlah kalau orang itu kata dia beriman, tapi dia tidak solat, dia kata dia beriman, tapi dia tidak puasa, dia kata dia beriman, tapi pakaian tidak mengikut garis-garis panduan oleh Allah dan tingkahlakunya tidak menepati ciri-ciri seorang muslim.Beriman kena datang bersama amalnya sekali. Dan yang seterusnya orang yang takkan rugi adalah orang yang berpesan-pesan kepada kebaikan dan berpesan-pesan kepada kesabaran.

Itulah empat prinsip penting yang harus kita pegang sebagai seorang muslim.

Dunia Sebagai Jambatan Akhirat

Untungnya kita sebagai orang Islam adalah,bahawa Islam bukan agama yang fokus terhadap akhirat sahaja.Dan Islam jugabukan fokus terhadap dunia sahaja.Islam menjadikan dua-dua dunia dan akhirat penting.Allah menjadikan dunia ini sebagai jambatan untuk mendapatkan kebahagian di akhirat.

Ada satu hadis Rasulullah yang berbunyi
„Sekiranya kiamat akan berlaku,dan di tanganmu ada benih pokok,makan tanamlah“
Apa yang kita dapat faham daripada hadis ini adalah,dunia dan akhirat tidak dapat dipisahkan.Kalau Islam itu agama di tikar sejadah sahaja,sudah tentu Rasulullah akan berkata, pergilah balik rumah, solat , berzikirlah, bertaubatlah, jangan endahkan perkara lain.

Pada awal-awal tahun hijrah ini,walaupun kita tidaklah menyambutnya dengan bunga api ,dengan belonnya dan seperti sambutan tahun baru oleh orang kafir yang seolah-olah tahun baru menjadi lesen besar untuk melakukan maksiat, kita hendaklah ada pegangan bahawa semua yang kita lakukan akan dihisab atau dihitung oleh Allah di akhirat kelak. Kalau orang kafir buat benda-benda yang dilarang Allah, itu boleh difahami lagi, kerana mereka tidak rasa apa yang mereka buat akan dipersoalkan di akhirat kelak tapi itu berbeza dengan kita, kerana kita sebagai orang Muslim, kita tahu kita akan dihisab kelak.

Kita takkan boleh lari,kita nak sembunyi,nak berlindung dimana di akhirat kelak? Kalau sekarang, kita jauh daripada manusia, jauh daripada ibubapa, kita boleh buat apa yang kita suka. Tapi ingat, di sisi kita, ada malaikat kiri dan kanan, yang sentiasa ingat kita, sentiasa menulis apa yang kita lakukan, bahkan lebih hebat daripada CCTV lagi. Semuanya akan terpampang di akhirat kelak. Walaupun kita sedang belajar,sedang duduk-duduk sahaja, kita kena pastikan masa kita diisi dengan kebaikan atau kalau bukan kebaikan pun, dengan benda-benda yang neutral. Supaya apabila kita sudah mati, semua akan menjadi syahid iaitu saksi terhadap kita. Contohnya kalau kita ada laptop, laptop itu akan jadi saksi kita telah buat kebaikan. Di akhirat kelak, mulut akan ditutup, tapi kaki, tangan, mata kita bercakap.

Kita kena letakkan dalam hati kita, bahawa Allah adalah Maha Penyayang dan memberi kita semua ini sebagai amanah yang perlu kita jaga. Pada hari akhirat, kaki tidak akan melangkah, selagi tidak ditanya mengenai empat perkara:

1) Umurnya,dimanakah dia habiskan.

2) Masa mudanya, dimana dia habiskan.

Kalau kita tengok Rasulullah asingkan umur dan masa muda, menunjukkan betapa pentingnya masa muda itu. Kalau kita tengok sahabat-sahabat Rasulullah yang pergi berjuang pun, ramai di kalangan orang muda. Ini kerana orang muda lebih cerdas,masih sihat,banyak masa lapang. Kalau dah berumur nanti sakit sana, sakit sini. Oleh itu,kalau nak buat kebaikan, buat sementara masih muda, jangan ditangguh-tangguhkan.

3) Hartanya, mana dia dapat dan kemana dibelanjakan.

Adakah harta yang kita dapat daripada sumber yang halal? Kalau dapat biasiswa, dapat gaji, kemana dibelanjakan? Biarlah harta kita jadi saksi yang kita buat kebaikan. Kalau dapat biasiswa, kita boleh menginfakkan sedikit harta untuk orang-orang palestin, orang miskin, anak-anak yatim dan sebagainya. Dalam zaman sekarang ini, lagi senang, kita boleh direct debit dan sebagainya. Semua itu kita kena rancanglah.

Kita tak boleh biarkan diri kita ditentukan oleh rutin. Contohnya,kenapa pergi belajar, sebab orang belajar.Kenapa beli ini,sebab orang beli. Tidak bolehlah macam itu. Kita kena tentukan target dalam hidup kita.

4) Ilmu,apa yang diamalkan

Rasulullah S.A.W menyuruh kita merebut 5 perkara sebelum 5 perkara.

1) Sihat sebelum sakit

Kalau kita sihat, kita fikir nak buat ibadah-ibadah sunat, buatlah. Kita tak tahu bila kita sakit. Ada pepatah arab menyebut, kesihatan adalah nikmat yang tidak dirasai kecuali apabila sakit.

2)Kaya sebelum miskin

Kalau kita ada duit cukup sekarang, bersedekahlah. Kita tak tahu yang kita akan ada duit lagi atau tidak nanti.

3) Lapang sebelum sempit

Kalau ada masa lapang, kita nak solat malam, buatlah, kalau nak hafal Quran, hafallah, nak belajar-belajarlah. Jangan nak tangguh-tangguh, tunggu kerja dulu lah, tunggu habis exam lah, tunggu cuti panjang lah. Sebab nanti bila dah sibuk baru nak kelam kabut.

4) Muda sebelum tua

Masa muda adalah masa yang paling produktif dan aktif. Kalau orang buat benda buruk pun, masa itulah juga masa yang dia paling aktif.

5) Hidup sebelum mati

Bila kita mati, kita dah tak boleh buat apa-apa. Kalau nak buat apa-apa, buatlah sekarang. Kalau nak berbakti kepada ibu bapa, berbaktilah sekarang. Tak payah tunggu. Kita tidak tahu berapa lama lagi umur ibu bapa kita, umur kita pun kita tak tahu.

Soal Jawab 

Soalan 1)

Apabila kita hendak membuat perubahan ke arah kebaikan, macam mana nak atasi perasaan takut,takut orang jauhkan diri dan hilang kawan?

Jawapan:

Dalam hidup kita,kalau kita buat benda baik, tak ada cabaran, tentulah benda itu nampak kurang berharga. Macam dalam filem, kalau tak ada orang jahat, monotonous lah cerita tersebut kan. Yang menentukan kita adalah diri kita. Kita mestilah meletakkan seluruh usaha untuk mencapai target kita. Kita jangan terpedaya dengan diri sendiri dan syaitan. Kalau kita nak maju, mestilah ada cabaran yang perlu dihadapi,cabaran itu dari hati kita sendiri, iaitu nafsu kita sendiri dan penasihatnya iaitu syaitan.

Syaitan pula ada dua jenis,satu syaitan yang betul-betul syaitan. Yang satu lagi, syaitan manusia, iaitu orang-orang dan kawan-kawan yang jahat, yang tidak membantu ke arah kebaikan. Kita jangan peduli apa orang kata. Kalau kita malas, kita jangan layan sangat. Kita perlu ada keazaman yang kuat. Keazaman itu datang daripada mana? Sudah tentu datang daripada Allah. Kalau nak keazaman itu, mestilah kena dekat dengan yang memberinya. Jangan pula dekat dengan Allah pada waktu tertentu sahaja. Kita minta pada Allah untuk tetapkan hati kita. Lepas azam dah kuat, kita cari rakan-rakan yang boleh membantu pula.

Soalan 2)

Sambungan daripada yang pertama juga.
Macam mana nak yakin diri dan bersemangat dengan perubahan yang dilakukan?

Jawapan:

Macam kita naik keretalah, kalau dah lama mesti habis minyak .Minyak ini seperti ilmu lah. Ilmu itulah yang beri kekuatan. Kita kena bersama dengan kawan-kawan yang baik. Kita kena cari kawan yang baik. Kalau tidak pun, kita kena jadi kawan yang baik. Kalau jauh dengan satu sama lain, kena ada orang yang boleh beri nasihat contohnya duduk bersama-sama dalam usrah. Selain itu, kena selalu doa juga, minta Allah tetapkan hati.

Soalan 3)

Dengan kawan yang jenis macam mana seorang ibu suka anak dia berkawan?

Jawapan:

Kalau ibu yang baik,sudah tentulah dengan kawan yang baik. Baik itu macam mana? Kawan yang baik bukan orang yang selalu membenarkan kita 24 jam, tetapi orang yang boleh berkata benar. Sebagai kawan kita kena ada pendirian. Ada hadis Rasulullah yang mengatakan, kalau berkawan dengan penjual minyak wangi kita dapat minyak wangi, kalau kawan dengan tukang besi kita dapat percikan besinya.



.

23 Dec 2010

matlamat program kita apa?


salam,

khas untuk muhasabah kita bersama..

semoga semua program/aktiviti yang kita sertai/anjurkan akan diberkati ALLAH

~dari blog saifulislam.com~


“Kamilah penggerak, kamilah pembenteng, Islam masa depan!”

Lagu tema itu mengiringi upacara penutup yang melabuhkan tirai Kem Hijrah Remaja Islam (HIJRI) 1432 kali ini.

Antara gembira dan sedih dengan perpisahan, hati saya bagai lautan mengucapkan rasa syukur atas kejayaan program tahunan kemuncak Saifulislam Training & Consultancy ini. Kali ini 48 orang peserta menyertainya dan program dijalankan sehari lebih panjang berbanding 3 hari 2 malam pada tahun-tahun sebelumnya.

“Mungkin ini KEM HIJRI terakhir yang saya akan anjurkan” hati pernah terdetik berkata begitu.

Masakan tidak, proses menganjurkan kali ini penuh dengan pelbagai liku. Saya dan warga kerja STC hampir-hampir berputus asa.

Tarikh program terpaksa ditukar sebanyak 3 kali untuk mengimbangkan desakan ibu bapa yang tersepit di antara minggu pengumuman jadual peperiksaan PMR, SPM yang belum selesai dan pelbagai isu lain. Akhirnya, berbekalkan statistik tahun lalu, kami menetapkan tarikh16 – 19 Disember sebagai tarikh paling optimum untuk majoriti.

Lokasi program juga amat mencabar. Pertukaran tarikh menyebabkan kem asal tidak dapat menyediakan ruang untuk kami. Lokasi kedua pula cuba menipu kami dengan pelbagai helah tidak beretika, ketika mana prasarana sebenar berkali ganda lebih teruk daripada apa yang ditawarkan di halaman iklannya di atas talian. Kami nekad membatalkannya.

Alhamdulillah, semua itu berakhir dengan keputusan yang terbaik. Tarikh terbaik di lokasi terbaik iaitu di Nur Bukit Unggul, Sepang.

Cabaran yang lebih besar, berlaku di balik tabir. Kekangan pelbagai projek yang mendesak kami bekerja tanpa mengira siang malam, diuji dengan kekurangan seorang tenaga kerja yang mengambil keputusan untuk mengundurkan diri. Saya bertawakkal kepada Allah dan terus meniup semangat kepada pasukan yang masih ada untuk bertenang dan sambil menujukan nasihat itu lebih kepada diri sendiri.

Tidak sempat menarik nafas rehat sejurus selepas pulang dari Australia, persiapan diatur bersama. Saudara Shakir dan Ashraf memfokuskan kepada persiapan teknikal dan saya memberikan 100% tumpuan kepada aspek content.

FASILITATOR


Ingin menjadikan program ini sebagai serampang dua mata, saya membuka tawaran di Facebook untuk mana-mana anak muda yang berbakat tampil menjadi fasilitator bersama. Program ini tidak seharusnya sekadar memberi tumpuan kepada melahirkan remaja yang bersemangat HIJRAH ke arah perubahan yang lebih baik, ia juga boleh dimanfaatkan untuk melatih fasilitator pelapis yang mendukung cita-cita yang sama.

Alhamdulillah.

Selain Najmuddin Hasan dan Ashraf Rostam yang sudah bersama sebelum ini, STC berbesar hati menyambut Firdaus dan Nurman yang masing-masing menuntut di Australia dan kini sedang bercuti, serta Nurul Ashikin, mahasiswi tahun akhir di USIM. Namun paling unik, kami turut menerima Nurul Asna Hidayah yang baru sahaja selesai menduduki SPM, tetapi berdiri sama hebat dengan abang-abang dan kakak-kakak untuk berperanan sebagai fasilitator di Kem HIJRI kali ini.

Setiap mereka mempunyai pengalaman, bakat, ilmu pengetahuan dan watak yang sudah menjadikan mereka ‘half cooked’ dalam pemudahcaraan kem seperti ini. Dengan hanya melalui dua sesi taklimat, saya sampaikan objektif dan falsafah program untuk mereka hayati. Selebihnya, saya berikan sepenuh kepercayaan kepada mereka untuk secara bebas menambah kurang apa sahaja yang diijtihadkan sebagai bermanfaat, selari dengan objektif serta falsafah Kem HIJRI serta STC yang sedia mereka maklumi.

Subhanallah… apa yang asalnya berkemungkinan menjadi liabiliti, berubah menjadi aset dan kelebihan.

Saya menerima pelbagai bahan menarik yang setiap fasilitator tawarkan dan ia menjadikan program ini seperti pelangi. Warnanya pelbagai dan penuh ceria, namun semuanya seragam menghasilkan cahaya putih yang disasarkan.

Saya tekad menutup mulut dan menahan diri daripada menegur atau membetulkan tindakan fasilitator malah jauh sekali cuba mengambil alih tugasan tatkala ada yang tidak mencapaibenchmark saya. Semuanya saya simpan ke akhir program kerana sedari awal, saya tegaskan bahawa kita bekerja secara outcome oriented. Jika akhirnya segala kelebihan dan kekurangan itu bergabung menyampaikan kami semua kepada matlamat program, maka proses hanya perlu diperbaiki sebagai ruang penambah baikan dan bukan lagi bersifat pembetulan.

Yakin, andai kita memberikan sepenuh kepercayaan kepada fasilitator, mereka juga menerima kepercayaan itu untuk memberi segala yang terbaik daripada mereka.

Syabas fasilitator semua!

Fasilitator Nurul Ashikin dan Nurul Asna

Fasilitator Nurman

Fasilitator Firdaus

Fasilitator Najmuddin

Fasilitator Ashraf

PESERTA

Syukur kepada Allah.

Syukur dan syukur.

Peserta yang menyertai Kem HIJRI kali ini sangat unik.

Sambil memperkenalkan diri, mata saya memerhatikan wajah setiap peserta untuk mengesan emosi mereka. Terpaksa, tertekan, mahu memberontak, tidak bermotivasi, atau apa sahaja perasaan yang negatif, saya cuba dapatkan agar kita boleh tentukan dos manakah yang perlu dilebih atau dikurangkan.

Dos akal.

Dos hati.

Dos nafsu.

Dos fizikal.

Alhamdulillah, wajah peserta bukan sahaja tenang dan ceria, malah kebanyakannya ‘agak selesa’ untuk berkampung selama 4 hari 3 malam bersama keluarga baru mereka di Kem HIJRI ini.

Di kem ini, kami menggunakan pendekatan positive reinforcement. Ia sangat selari dengan fitrah manusia dan sejujurnya Insya Allah akan lebih memudahkan kerja kami sendiri. Tidaklah mengambil bulat-bulat falsafah B.F. Skinner, para peserta diselesakan di dalam sesi pembelajaran dengan merangsang mereka melakukan perkara positif dengan ganjaran, serta membetulkan salah laku juga dengan pendekatan yang positif.

Telefon bimbit boleh dipakai, tiada pakaian seragam, peserta dikekalkan dalam bentuk yang paling hampir dengan realiti kehidupan mereka. Tiada tengking menengking, menjerit-jerit memberi arahan, mengkawatkan mereka ke sana sini, malah tiada Qiamullail!

Apa yang ada, adalah asas-asas agama yang dididik oleh murabbi kami iaitu Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam pada membetul dan mengemaskinikan ibadah asas yang wajib. Saf dilatih setiap waktu untuk diluruskan, solat sunat Rawatib ‘diwajibkan’ untuk semua dan Solat itu sendiri dijadikan sebagai cara kami mengukur perkembangan peserta di sepanjang masa berlangsungnya program.

Kami menghormati peserta, peserta juga menghormati kami.

Bukan memanjakan, tetapi tegas dalam kelembutan.

Berlaku salah laku, apabila ada peserta yang terjerumus kepada kesalahan yang membabitkan hak orang lain. Kami teruji dengan kejadian ini, namun berusaha untuk terus istiqamah dengan falsafah program. Tiada kepal tangan atau terajang pokok, tiada menengking-nengking atau mengugut, peserta dirasionalkan tentang apa yang berlaku, dan diperingatkan kembali tentang perjanjian bersama untuk saling percaya mempercayai bahawa kami bukan mahu mengaibkan, menghina atau menghukum pesalah. Hanya mahu memastikan segalanya selesai dengan baik, dan 48 peserta bersama para fasilitator semua sekali mengambil kejadian sebagai satu modul tambahan daripada Allah untuk kami belajar sesuatu.

Alhamdulillah, positive reinforcement berjaya membantu kami menyelesaikan kes dengan sempurna dalam masa sekitar satu jam sahaja.

Tertegaklah satu Sunnah dan terpudarlah satu bid’ah dalam pembentukan manusia.

BERITA MENGEJUT

Saya secara peribadi teruji tatkala menerima berita mengejut, perkhabaran tentang kembalinya ke Rahmatullah sahabat yang amat saya kasihi, Dr. Mas Afzal Masarudin sekitar jam 3 pagi pada hari Sabtu tersebut. Selepas lebih setahun bertarung dengan kanser, beliau menghembuskan nafasnya yang terakhir dengan meninggalkan 1001 misalan perjuangan yang akan terus kekal membakar semangat setiap insan yang pernah disentuhnya di sepanjang kehidupan pendek anak muda itu.

Saya tidak dapat menahan tangisan, menangis sepanjang subuh dan cuba untuk tidak menjejaskan tumpuan kepada program.

Terkilan tidak berkesempatan untuk menemani al-marhum ke persemadiannya di Bentong, saya mengajak peserta kem menunaikan solat jenazah ghaib, di samping mengambil peluang mengajar mereka aspek fiqh juga berkongsi beberapa video berkaitan al-marhum untuk pemergian pejuang seperti Mas Afzal, memutikkan pengganti-pengganti di kalangan generasi adik-adik ini.

Takziah buat keluarga Dr. Mas Afzal Masarudin dan seluruh yang mengenalinya.

MODUL

Sangat ringkas.

Peserta diyakinkan betapa sakitnya andai mereka tidak difahami. Namun tiada siapa yang dapat memahami mereka jika mereka sendiri tidak membuka diri untuk difahami. Sebuah filem animasi kami gunakan sebagai filem tema dan seluruh elemen modul kami ekstrak daripadanya. Menerusi wacana filem itulah, seluruh usul Islam diterapkan secara mudah tetapi berimpak kepada peserta.

Semasa Malam Ekspresi Diri, kebanyakan kumpulan sangat terpeinci pada melakonkan adegan nakal atau jahat pra hijrah diri. Tetapi tatkala berputiknya keinsafan, kebaikan tidak diperincikan dan lakonan segera ditamatkan. Saya melihat semua itu sebagai satu refleksi kepada realiti kehidupan, bagaimana media begitu teliti pada memperincikan kejahatan. Baik di dalam drama mahu pun siaran akhbar.

Justeru, kami melihat betapa pentingnya kem ini kepada mereka kerana tatkala pelbagai medium memperincikan small steps kepada kejahatan, Kem HIJRI memperincikan small steps kepada kebaikan dan perubahan diri yang positif.

Syukur Alhamdulillah. Allah sangat banyak melimpahkan rahmat dan bantuan-Nya kepada kami semua di sepanjang berlangsungnya program.

IBU BAPA

70% daripada ibu bapa peserta menyatakan persetujuan untuk hadir ke sesi pengisian untuk mereka yang kami rancangkan.

Sebelum majlis penutup, saya mengambil masa kira-kira dua jam berwacana bersama ibu bapa tentang segala yang berlangsung di dalam kem, pendekatan kami, dan menyampaikan banyak luahan hati anak-anak kepada ibu bapa mereka. Saya dan fasilitator memposisikan diri kami sebagai pihak yang berada di luar sistem peserta. Kami bukan sekolah, kami bukan ibu bapa. Kami adalah pihak ketiga yang menyediakan ruang untuk peserta mengeluarkan warna-warna sebenar mereka tanpa terikat dengan expectation sesiapa.

Ibu bapa memberikan maklum balas yang cukup baik, malah tanpa segan silu datang bertemu dengan saya dan fasilitator untuk mendapatkan maklum balas terpeinci untuk anak-anak mereka, termasuk juga di kalangan mereka yang mempunyai concern yang lebih spesifik. Setelah tamat program, pada jam 2 petang, saya tidak dapat berganjak daripada dewan hingga petang kerana banyak sesi kecil berlangsung untuk mengoptimumkan pertukaran maklumat dan pandangan antara peserta, ibu bapa dan kami sebelum berpisah.

Syukur kepada Allah.

Semoga seluruh perkongsian ilmu, maklumat, pengalaman dan persaudaraan yang terbentuk di dalam program berterusan menjadi manfaat buat semua.

Terima kasih kepada ibu bapa kerana memberikan kepercayaan kepada kami.

Terima kasih kepada peserta kerana membenarkan kami mengasihi mereka malah belajar banyak perkara semasa ‘mengajar’ mereka’.

Terima kasih khusus saya kepada Shakir, Ashraf Fauzi, Dzulhuzmi dan Salihah, Ashraf Rostam, Najmuddin, Nurman, Firdaus, Nurul Ashikin dan Nurul Asna.

Terima kasih kepada Nur Bukit Unggul.

Terima kasih kepada Abang Mustafa, the cameraman.

Terima kasih kepada isteri dan anak-anak saya yang meminjamkan Abi mereka selama 4 hari 3 malam.

Dan, terima kasih ya Allah. Segala puji buat-Mu atas limpahan nikmat dan hidayah yang seluas Rahman dan Rahim-Mu.

Salam kasih sayang buat semua.

Pasti, Kem HIJRI ini bukan kem HIJRI terakhir daripada kami, Insya Allah!

 

Teratak Wihdah Copyright © 2009 Flower Garden is Designed by Ipietoon for Tadpole's Notez Flower Image by Dapino