23 Dec 2010

matlamat program kita apa?


salam,

khas untuk muhasabah kita bersama..

semoga semua program/aktiviti yang kita sertai/anjurkan akan diberkati ALLAH

~dari blog saifulislam.com~


“Kamilah penggerak, kamilah pembenteng, Islam masa depan!”

Lagu tema itu mengiringi upacara penutup yang melabuhkan tirai Kem Hijrah Remaja Islam (HIJRI) 1432 kali ini.

Antara gembira dan sedih dengan perpisahan, hati saya bagai lautan mengucapkan rasa syukur atas kejayaan program tahunan kemuncak Saifulislam Training & Consultancy ini. Kali ini 48 orang peserta menyertainya dan program dijalankan sehari lebih panjang berbanding 3 hari 2 malam pada tahun-tahun sebelumnya.

“Mungkin ini KEM HIJRI terakhir yang saya akan anjurkan” hati pernah terdetik berkata begitu.

Masakan tidak, proses menganjurkan kali ini penuh dengan pelbagai liku. Saya dan warga kerja STC hampir-hampir berputus asa.

Tarikh program terpaksa ditukar sebanyak 3 kali untuk mengimbangkan desakan ibu bapa yang tersepit di antara minggu pengumuman jadual peperiksaan PMR, SPM yang belum selesai dan pelbagai isu lain. Akhirnya, berbekalkan statistik tahun lalu, kami menetapkan tarikh16 – 19 Disember sebagai tarikh paling optimum untuk majoriti.

Lokasi program juga amat mencabar. Pertukaran tarikh menyebabkan kem asal tidak dapat menyediakan ruang untuk kami. Lokasi kedua pula cuba menipu kami dengan pelbagai helah tidak beretika, ketika mana prasarana sebenar berkali ganda lebih teruk daripada apa yang ditawarkan di halaman iklannya di atas talian. Kami nekad membatalkannya.

Alhamdulillah, semua itu berakhir dengan keputusan yang terbaik. Tarikh terbaik di lokasi terbaik iaitu di Nur Bukit Unggul, Sepang.

Cabaran yang lebih besar, berlaku di balik tabir. Kekangan pelbagai projek yang mendesak kami bekerja tanpa mengira siang malam, diuji dengan kekurangan seorang tenaga kerja yang mengambil keputusan untuk mengundurkan diri. Saya bertawakkal kepada Allah dan terus meniup semangat kepada pasukan yang masih ada untuk bertenang dan sambil menujukan nasihat itu lebih kepada diri sendiri.

Tidak sempat menarik nafas rehat sejurus selepas pulang dari Australia, persiapan diatur bersama. Saudara Shakir dan Ashraf memfokuskan kepada persiapan teknikal dan saya memberikan 100% tumpuan kepada aspek content.

FASILITATOR


Ingin menjadikan program ini sebagai serampang dua mata, saya membuka tawaran di Facebook untuk mana-mana anak muda yang berbakat tampil menjadi fasilitator bersama. Program ini tidak seharusnya sekadar memberi tumpuan kepada melahirkan remaja yang bersemangat HIJRAH ke arah perubahan yang lebih baik, ia juga boleh dimanfaatkan untuk melatih fasilitator pelapis yang mendukung cita-cita yang sama.

Alhamdulillah.

Selain Najmuddin Hasan dan Ashraf Rostam yang sudah bersama sebelum ini, STC berbesar hati menyambut Firdaus dan Nurman yang masing-masing menuntut di Australia dan kini sedang bercuti, serta Nurul Ashikin, mahasiswi tahun akhir di USIM. Namun paling unik, kami turut menerima Nurul Asna Hidayah yang baru sahaja selesai menduduki SPM, tetapi berdiri sama hebat dengan abang-abang dan kakak-kakak untuk berperanan sebagai fasilitator di Kem HIJRI kali ini.

Setiap mereka mempunyai pengalaman, bakat, ilmu pengetahuan dan watak yang sudah menjadikan mereka ‘half cooked’ dalam pemudahcaraan kem seperti ini. Dengan hanya melalui dua sesi taklimat, saya sampaikan objektif dan falsafah program untuk mereka hayati. Selebihnya, saya berikan sepenuh kepercayaan kepada mereka untuk secara bebas menambah kurang apa sahaja yang diijtihadkan sebagai bermanfaat, selari dengan objektif serta falsafah Kem HIJRI serta STC yang sedia mereka maklumi.

Subhanallah… apa yang asalnya berkemungkinan menjadi liabiliti, berubah menjadi aset dan kelebihan.

Saya menerima pelbagai bahan menarik yang setiap fasilitator tawarkan dan ia menjadikan program ini seperti pelangi. Warnanya pelbagai dan penuh ceria, namun semuanya seragam menghasilkan cahaya putih yang disasarkan.

Saya tekad menutup mulut dan menahan diri daripada menegur atau membetulkan tindakan fasilitator malah jauh sekali cuba mengambil alih tugasan tatkala ada yang tidak mencapaibenchmark saya. Semuanya saya simpan ke akhir program kerana sedari awal, saya tegaskan bahawa kita bekerja secara outcome oriented. Jika akhirnya segala kelebihan dan kekurangan itu bergabung menyampaikan kami semua kepada matlamat program, maka proses hanya perlu diperbaiki sebagai ruang penambah baikan dan bukan lagi bersifat pembetulan.

Yakin, andai kita memberikan sepenuh kepercayaan kepada fasilitator, mereka juga menerima kepercayaan itu untuk memberi segala yang terbaik daripada mereka.

Syabas fasilitator semua!

Fasilitator Nurul Ashikin dan Nurul Asna

Fasilitator Nurman

Fasilitator Firdaus

Fasilitator Najmuddin

Fasilitator Ashraf

PESERTA

Syukur kepada Allah.

Syukur dan syukur.

Peserta yang menyertai Kem HIJRI kali ini sangat unik.

Sambil memperkenalkan diri, mata saya memerhatikan wajah setiap peserta untuk mengesan emosi mereka. Terpaksa, tertekan, mahu memberontak, tidak bermotivasi, atau apa sahaja perasaan yang negatif, saya cuba dapatkan agar kita boleh tentukan dos manakah yang perlu dilebih atau dikurangkan.

Dos akal.

Dos hati.

Dos nafsu.

Dos fizikal.

Alhamdulillah, wajah peserta bukan sahaja tenang dan ceria, malah kebanyakannya ‘agak selesa’ untuk berkampung selama 4 hari 3 malam bersama keluarga baru mereka di Kem HIJRI ini.

Di kem ini, kami menggunakan pendekatan positive reinforcement. Ia sangat selari dengan fitrah manusia dan sejujurnya Insya Allah akan lebih memudahkan kerja kami sendiri. Tidaklah mengambil bulat-bulat falsafah B.F. Skinner, para peserta diselesakan di dalam sesi pembelajaran dengan merangsang mereka melakukan perkara positif dengan ganjaran, serta membetulkan salah laku juga dengan pendekatan yang positif.

Telefon bimbit boleh dipakai, tiada pakaian seragam, peserta dikekalkan dalam bentuk yang paling hampir dengan realiti kehidupan mereka. Tiada tengking menengking, menjerit-jerit memberi arahan, mengkawatkan mereka ke sana sini, malah tiada Qiamullail!

Apa yang ada, adalah asas-asas agama yang dididik oleh murabbi kami iaitu Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam pada membetul dan mengemaskinikan ibadah asas yang wajib. Saf dilatih setiap waktu untuk diluruskan, solat sunat Rawatib ‘diwajibkan’ untuk semua dan Solat itu sendiri dijadikan sebagai cara kami mengukur perkembangan peserta di sepanjang masa berlangsungnya program.

Kami menghormati peserta, peserta juga menghormati kami.

Bukan memanjakan, tetapi tegas dalam kelembutan.

Berlaku salah laku, apabila ada peserta yang terjerumus kepada kesalahan yang membabitkan hak orang lain. Kami teruji dengan kejadian ini, namun berusaha untuk terus istiqamah dengan falsafah program. Tiada kepal tangan atau terajang pokok, tiada menengking-nengking atau mengugut, peserta dirasionalkan tentang apa yang berlaku, dan diperingatkan kembali tentang perjanjian bersama untuk saling percaya mempercayai bahawa kami bukan mahu mengaibkan, menghina atau menghukum pesalah. Hanya mahu memastikan segalanya selesai dengan baik, dan 48 peserta bersama para fasilitator semua sekali mengambil kejadian sebagai satu modul tambahan daripada Allah untuk kami belajar sesuatu.

Alhamdulillah, positive reinforcement berjaya membantu kami menyelesaikan kes dengan sempurna dalam masa sekitar satu jam sahaja.

Tertegaklah satu Sunnah dan terpudarlah satu bid’ah dalam pembentukan manusia.

BERITA MENGEJUT

Saya secara peribadi teruji tatkala menerima berita mengejut, perkhabaran tentang kembalinya ke Rahmatullah sahabat yang amat saya kasihi, Dr. Mas Afzal Masarudin sekitar jam 3 pagi pada hari Sabtu tersebut. Selepas lebih setahun bertarung dengan kanser, beliau menghembuskan nafasnya yang terakhir dengan meninggalkan 1001 misalan perjuangan yang akan terus kekal membakar semangat setiap insan yang pernah disentuhnya di sepanjang kehidupan pendek anak muda itu.

Saya tidak dapat menahan tangisan, menangis sepanjang subuh dan cuba untuk tidak menjejaskan tumpuan kepada program.

Terkilan tidak berkesempatan untuk menemani al-marhum ke persemadiannya di Bentong, saya mengajak peserta kem menunaikan solat jenazah ghaib, di samping mengambil peluang mengajar mereka aspek fiqh juga berkongsi beberapa video berkaitan al-marhum untuk pemergian pejuang seperti Mas Afzal, memutikkan pengganti-pengganti di kalangan generasi adik-adik ini.

Takziah buat keluarga Dr. Mas Afzal Masarudin dan seluruh yang mengenalinya.

MODUL

Sangat ringkas.

Peserta diyakinkan betapa sakitnya andai mereka tidak difahami. Namun tiada siapa yang dapat memahami mereka jika mereka sendiri tidak membuka diri untuk difahami. Sebuah filem animasi kami gunakan sebagai filem tema dan seluruh elemen modul kami ekstrak daripadanya. Menerusi wacana filem itulah, seluruh usul Islam diterapkan secara mudah tetapi berimpak kepada peserta.

Semasa Malam Ekspresi Diri, kebanyakan kumpulan sangat terpeinci pada melakonkan adegan nakal atau jahat pra hijrah diri. Tetapi tatkala berputiknya keinsafan, kebaikan tidak diperincikan dan lakonan segera ditamatkan. Saya melihat semua itu sebagai satu refleksi kepada realiti kehidupan, bagaimana media begitu teliti pada memperincikan kejahatan. Baik di dalam drama mahu pun siaran akhbar.

Justeru, kami melihat betapa pentingnya kem ini kepada mereka kerana tatkala pelbagai medium memperincikan small steps kepada kejahatan, Kem HIJRI memperincikan small steps kepada kebaikan dan perubahan diri yang positif.

Syukur Alhamdulillah. Allah sangat banyak melimpahkan rahmat dan bantuan-Nya kepada kami semua di sepanjang berlangsungnya program.

IBU BAPA

70% daripada ibu bapa peserta menyatakan persetujuan untuk hadir ke sesi pengisian untuk mereka yang kami rancangkan.

Sebelum majlis penutup, saya mengambil masa kira-kira dua jam berwacana bersama ibu bapa tentang segala yang berlangsung di dalam kem, pendekatan kami, dan menyampaikan banyak luahan hati anak-anak kepada ibu bapa mereka. Saya dan fasilitator memposisikan diri kami sebagai pihak yang berada di luar sistem peserta. Kami bukan sekolah, kami bukan ibu bapa. Kami adalah pihak ketiga yang menyediakan ruang untuk peserta mengeluarkan warna-warna sebenar mereka tanpa terikat dengan expectation sesiapa.

Ibu bapa memberikan maklum balas yang cukup baik, malah tanpa segan silu datang bertemu dengan saya dan fasilitator untuk mendapatkan maklum balas terpeinci untuk anak-anak mereka, termasuk juga di kalangan mereka yang mempunyai concern yang lebih spesifik. Setelah tamat program, pada jam 2 petang, saya tidak dapat berganjak daripada dewan hingga petang kerana banyak sesi kecil berlangsung untuk mengoptimumkan pertukaran maklumat dan pandangan antara peserta, ibu bapa dan kami sebelum berpisah.

Syukur kepada Allah.

Semoga seluruh perkongsian ilmu, maklumat, pengalaman dan persaudaraan yang terbentuk di dalam program berterusan menjadi manfaat buat semua.

Terima kasih kepada ibu bapa kerana memberikan kepercayaan kepada kami.

Terima kasih kepada peserta kerana membenarkan kami mengasihi mereka malah belajar banyak perkara semasa ‘mengajar’ mereka’.

Terima kasih khusus saya kepada Shakir, Ashraf Fauzi, Dzulhuzmi dan Salihah, Ashraf Rostam, Najmuddin, Nurman, Firdaus, Nurul Ashikin dan Nurul Asna.

Terima kasih kepada Nur Bukit Unggul.

Terima kasih kepada Abang Mustafa, the cameraman.

Terima kasih kepada isteri dan anak-anak saya yang meminjamkan Abi mereka selama 4 hari 3 malam.

Dan, terima kasih ya Allah. Segala puji buat-Mu atas limpahan nikmat dan hidayah yang seluas Rahman dan Rahim-Mu.

Salam kasih sayang buat semua.

Pasti, Kem HIJRI ini bukan kem HIJRI terakhir daripada kami, Insya Allah!

0 coretan:

 

Teratak Wihdah Copyright © 2009 Flower Garden is Designed by Ipietoon for Tadpole's Notez Flower Image by Dapino