Muka surat 4 dari Tafsir Fi zilal.
„Di bawah bayangan al-Qur’an juga aku dapat mempelajari bahawa di dalam alam al-wujud ini tiada ruang bagi kebetulan yang membuta tuli dan bagi kejadian-kejadian luar dugaan yang mendadak.“
إِنَّا كُلَّ شَيْءٍ خَلَقْنَاهُ بِقَدَرٍ (49)
49. “Sesungguhnya Kami ciptakan segala sesuatu itu dengan ukuran yang rapi”
(Surah al-Qamar)
Tidaklah setiap perkara yang berlaku di atas muka bumi ini berlaku secara kebetulan mahupun di luar dugaan melainkan untuk setiapnya telah ditentukan secara teliti oleh Allah dan setiap yang berlaku dengan izin Allah terkandung di dalamnya sebab yang hanya Allah sahaja yang lebih mengetahui akan kejadiannya.
Contoh
Matahari telah diciptakan oleh Allah dengan jarak tertentu daripada bumi untuk membolehkan bumi sesuai didiami benda hidup dalam keadaan yang tidak terlalu panas dan tidak terlampau sejuk.
وَخَلَقَ كُلَّ شَيْءٍ فَقَدَّرَهُ تَقْدِيرًا (29)
2. “Dan Dialah yang menciptakan tiap-tiap sesuatu iaitu menentukan keadaan makhluk itu dengan ketentuan takdir yang sempurna.”
(Surah al-Furqan)
Segala-gala yang berlaku pada masa sekarang telah ditentukan beribu-ribu tahun dahulu dan ditulis di Luh Mahfuz. Kita tidak sedar apa yang wujud di dunia sekarang sebenarnya telah tercatat dan ditentukan akan berlaku.
Contoh
Kejayaan manusia menjejakkan kaki di angkasa telah pun diterangkan dalam Al-Quran yang diturunkan 1400 tahun yang lalu.
Setiap perkara dan kejadian ada hikmatnya, tetapi hikmat itu adalah suatu hikmat ghaib yang amat mendalam dan mungkin tidak ternampak kepada pandangan manusia yang singkat.
Semua perkara diciptakan oleh Allah dengan sebab yang baik. Kita mungkin tertanya-tanya apa gunanya Allah menciptakan makhluk lalat yang kotor dan sukakan kekotoran dan kenapa ia diciptakan. Mungkin sama sekali kita tidak terfikir disebalik penciptaan lalat itu ia adalah satu makhluk yang membuatkan semua orang sama rata. Lalat tidak memilih individu yang hendak dihinggapinya. Tidak ada jaminan seseorang itu kaya, wangi atau pembersih untuk tidak dihinggapi lalat. Sebagai contoh, raja juga dihinggapi lalat. Allah maha bijaksana yang mencipta semuanya pada kadarnya secara adil. Setiap yang berlaku bukanlah sebab daripada sesuatu yang lain tetapi segalanya dari Allah. Contohnya kita gagal dalam peperiksaan bukan sebab kita tak study tetapi semua berlaku dengan iradat Allah. Kita sama sekali tiada pengetahuan jika dibandingkan dengan Allah. Allah tidak akan menentukan sesuatu yang teruk kepada hambanya. Kesusahan yang diberikan oleh Allah bukanlah sesuatu yang buruk sebaliknya ia mungkin pengajaran yang berguna untuk kita atau dalam contoh lain sakit yang diberi oleh Allah adalah sebab sebagai penghapus dosa kita.
Segala sebab-sebab yang diketahui umum itu kadang-kadang melahirkan kesan kesannya dan kadang-kadang tidak, begitu juga muqaddimah/primisa yang dianggap orang sebagai pasti kadang-kadang melahirkan natijah dan kadang-kadang tidak, kerana sebab-sebab dan muqaddimah-muqaddimah itu sendiri bukanlah berkuasa mewujudkan kesan-kesan dan natijah-natijah itu, malah iradat* Allah yang bebas itulah yang mewujudkan kesan-kesan dan natijah-natijah itu di samping mewujudkan sebab-sebab dan muqaddimah itu sendiri.
*iradat = kebebasan Allah melakukan apa saja tanpa terikat kepada apa-apa.
Allah maha mengetahui. Hanya Allah sahaja yang mengetahui dengan tepat semua yang berlaku dan sebab berlakunya perkara tersebut. Sebagai contoh, pergerakan plat bumi yang mengakibatkan gempa hanya Allah sahaja yang tahu bagaimana dan kenapa ia berlaku secara terperinci. Segala yang diatur oleh Allah ini bertujuan supaya kita berfikir akan hikmah disebaliknya. Mungkinkah di suatu itu terdapat terlalu ramai penduduk dan ramai pula yang melakukan dosa atau mungkin ianya sebagai teguran untuk manusia tetapi yang pastinya ia adalah sesuatu untuk kebaikan akan datang.
Muka surat 5
Orang yang beriman menggunakan sebab-sebab kerana ia diperintah berbuat begitu, tetapi Allahlah yang menentukan kesan-kesan dan natijah-natijahnya. Keyakinan kepada rahmat Allah dan keadilan-Nya, kepada hikmat kebijaksanaan Allah dan ilmu-Nya itulah satu satunya tempat perlindungan yang aman dan tempat yang selamat dari bisikan-bisikan dan godaan-godaan syaitan.
Sebagai orang yang beriman kita mesti mentaati segala perintah dan menjauhi segala larangan Allah. Kita tidak boleh makan babi dan perlu sentiasa menutup aurat contohnya. Ringkasnya kita perlu ikut sahaja apa yang telah ditetapkan. Oleh sebab itu islam adalah sangat mudah kerana kita hanya perlu mengikuti panduan yang telah diberikan oleh Allah. Jika dikaji segala perintah dan larangan Allah tedapat kebaikan disebaliknya. Contohnya, dalam daging babi ada ulat yang berbahaya kepada manusia. Jadi, sekiranya kita ikut segala ketetapan dari Allah, kita dapat lindungi diri kita dari syaitan dan apabila kita yakin dengan Allah kita akan sentiasa rasa selamat.
Contoh
Pada seorang wanita yang masih belum bertemu jodohnya, Allah sebenarnya mahu menguji sejauh mana tahap kesabaran dan ketaatannya sepanjang menempuhi dugaan ini. Mungkin saja keluarganya lebih memerlukannya pada ketika ini lebih dari dia memerlukan seorang suami. Jika dia tidak kuat untuk melawan godaan syaitan, sudah pasti dirinya akan hanyut dan melakukan perkara yang dilarang oleh Allah. Tetapi seandainya dirinya kuat bahkan tidak jemu berdoa dan berserah pada Allah, nescaya akan terhindarlah dirinya dari maksiat. Walaupun tiada jodohnya di dunia, di akhirat nanti pasti akan mendapat ganjaran dari Allah.
Muka surat 6
Sistem hidup yang diatur oleh Allah — sebagaimana yang dapat dilihat di bawah bayangan al-Qur’an — adalah digubal supaya ia dapat bertindak di dalam setiap masyarakat dan di dalam setiap peringkat perkembangan hidup manusia, juga dalam setiap keadaan jiwa umat manusia yang sama. Sistem ini digubal untuk manusia yang hidup di bumi ini dengan mengambil kira fitrah manusia, tenaga-tenaga, bakat-bakat semulajadinya, kekuatan dan kelemahannya, juga mengambil kira keadaan-keadaannya yang berubah yang dialaminya.
Hidup ini umpama seperti sekolah yang teratur. Dari mula kita hidup hinggalah kita mati boleh kita ibaratkan seperti setiap hari apa yang kita buat di sekolah atau lebih dikenali dengan sistem persekolahan. Setiap sistem boleh kita nampak dengan jelas dalam al-Qur’an. Contohnya, dalam sistem masyarakat perlu ada seorang ketua sebagaiman yang ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.w. Semua sistem yang ada di dunia sekarang ini seperti demokrasi, liberal, komunisme, semuanya digubal oleh manusia dan sama sekali tidak sempurna. Hanya sistem dari Allah sahaja yang sempurna kerana Allah sebagai pencipta tahu apa yang terbaik untuk makhluk ciptaanNya. Sama macam manusia yang menciptakan robot. Lemahnya robot sehingga dia sendiri tak tahu fungsinya sendiri. Natijahnya, siri peperangan yang berlaku sekarang ini adalah disebabkan manusia yang tidak mahu mengikut sistem dari Allah. Allah mengatur sistem yang sesuai dengan fitrah manusia. Sistem Allah adalah berdasarkan dua benda iaitu manusia dijadikan sebagai khalifah di muka bumi dan sebagai hamba Allah untuk mengabdikan diri kepadaNya.
Muka surat 7
Dan dalam dua keadaan ini sistem ini juga tidak mengandaikan bahawa asas-asas fitrah makhluk insan ini adalah asas-asas yang dangkal yang hanya wujud dengan kuasa undang undang atau boleh dihapuskan dengan hujung pena sahaja, malah makhluk insan ini dengan fitrah semulajadinya, dengan kecenderungan dan bakat-bakat semulajadinya adalah dipimpin oleh sistem hidup ilahi ini untuk mengangkatnya kepada setinggi darjah kesempurnaan yang telah ditentukan kepadanya, sesuai dengan kejadian dan tugasnya dan untuk menghormati dirinya, fitrah semulajadinya dan nilai-nilainya apabila ia memimpinnya di jalan kesempurnaan menuju kepada Allah. Oleh sebab itulah sistem hidup Ilahi ini diciptakan untuk jangka waktu yang amat panjang yang hanya diketahui Allah yang menciptakan insan dan menurunkan al-Qur’an ini sahaja.
Sistem yang diambil daripada al-Qur’an dicipta untuk jangka masa yang panjang. Apa yang dilakukan pada hari ini kesannya akan dibawa ke akan datang. Atau dengan kata lain setiap perbuatan kita di dunia ini akan dibawa untuk penghisaban ke akhirat, jadi sangat panjanglah. Sebagai persiapan untuk bekalan yg akan dibawa dan dihisab di akhirat kelak kita perlulah sentiasa perbaiki diri. Pertama, kita perlu membersihkan hati. Kedua, kita perlu tingkatkan amal dan seterusnya untuk mencari keredhaan Allah.
Muka surat 8
Allah S.W.T. itulah yang benar/al-Haq dan kewujudan Allah Ta’ala inilah segala makhluk yang ada mengambil kewujudannya.
Allah telah menciptakan alam buana ini dengan kebenaran/al-Haq dan tidak bercampur-aduk dengan kebatilan dan kepalsuan.
Kebenaran itulah yang menjadi tapak asas alam al-wujud ini dan apabila ia menyeleweng darinya ia akan rosak dan musnah
Kita sudah nampak sistem hidup Allah. Semua ada hikmahnya. Jadi,mengapa kite mashu mencari sumber yang lain? Segalanya sudah jelas dan nyata. Semuanya benar belaka. Tiada satu pun yang palsu. Kalau kita menyimpang maka akan rosaklah alam ini. Manusia secara kebiasaannya mengikut hati. Kalau baik hatinya, maka baiklah dan begitu juga sebaliknya. Oleh itu, semua perkara perlu dibuat mengikut kebenaran dan bukan berlandaskan hati semata dan kita perlu yakin bahawa agama kita benar kerana itulah janji Allah. Ilmu yang kita miliki ini pun semuanya ilmu Allah.
Muka surat 9
Manakah ketenteraman yang lebih ni’mat dari ketenteraman yang dilahirkan oleh kefahaman dan tanggapan ini? Manakah ketenangan yang lebih ni’mat dan ketenangan yang dicurahkan ke dalam hati oleh kefahaman dan tanggapan ini? Manakah kepercayaan terhadap kebenaran, kebaikan dan keislahan yang lebih kuat dan kepercayaan ini? Dan manakah suatu kekuatan dan keunggulan yang mengatasi realiti hidup yang kecil ini yang dicurahkan ke dalam hati nurani oleh kefahaman dan tanggapan ini?
Masa penghayatanku di bawah bayangan al-Qur’an itu berakhir dengan satu keyakinan yang teguh dan tegas, iaitu dunia ini tidak akan mencapai kebaikan dan umat manusia tidak akan mencapai kerehatan, ketenteraman, ketinggian, keberkatan, kesucian dan keselarasan dengan undang-undang alam buana dan fitrah hidup yang suci melainkan dengan kembali kepada Allah.
Setiap jiwa yang meyakini segala yang terkandung dalam Al-Quran sebagai perintah dari Allah pasti akan merasakan ketenangan dan ketenteraman yang tiada tolok bandingnya. Ringkasnya, kita perlu kembali kepada Allah. Oleh sebab itu kita kena belajar dan memahami setiap isi al-Qur’an.
Muka surat 10
Berhakimkan kepada sistem hidup yang diatur oleh Allah dalam kitab sucinya itu bukanlah suatu perkara sunat, bukan perkara sukarela dan bukan perkara pilihan, malah ia adalah perkara beriman atau tidak beriman.
Kita perlu kembali kepada syariat Allah, bukannya tunduk kepada hawa nafsu. Al-Quran adalah sumber terbaik dan lengkap yang telah diturunkan oleh Allah melalui rasulnya Muhammad s.a.w. untuk menuntun kita ke jalan yang benar dan diredhai Allah. Maka banyakkanlah muhasabah diri sama ada mahu mengikuti apa yang tertulis dalam al-Qur’an atau tidak. Apabila kita melanggar sunnatullah, maka akan berlakulah keburukan pada diri kita. Kita perlukan nafsu untuk makan, minum, kahwin, tapi perlu seiring dengan pertimbangan akal. Pertimbangan akal bergantung pada hati dan hati bergantung pada iman.
Perkara ini adalah suatu perkara yang amat serius. Ia adalah perkara aqidah dan asasnya lagi. Ia adalah perkara kebahagiaan atau kecelakaan manusia.
Umat manusia yang diciptakan Allah ini tidak dapat dibuka pintu fitrah yang tertutup itu melainkan dengan anak-anak kunci dari ciptaan Allah itu dan penyakit-penyakitnya tidak boleh diubati melainkan dengan penawar yang dicipta oleh Allah SW.T. Allah telah menyediakan di dalam sistem hidup yang diaturkan olehNya itu anak anak kunci untuk membuka segala pintu yang tertutup dan penawar untuk mengubatkan segala penyakit.
Orang kafir tertutupnya fitrah mereka dengan tidak menyembah Allah. Misalnya seperti firaun yang mana dah nak tenggelam baru ingat akan Allah atau baru terbuka fitrah dia. Jadi untuk kita, bagaimana kita nak dapatkan kunci dari Allah? Mediumnya ialah al-Qur’an iaitu cara kita berinteraksi dengan Allah. Semua kunci-kunci dunia ada dalam al-Qur’an, kita hanya tinggal mencarinya saja. Malah al-Qur’an juga merupakan sumber hidayah. (seperti kisah saidina Umar r.a memeluk islam dalam entry yang lepas)
Kesimpulan
Kesimpulannya, al-Qur’an membentuk kefahaman terhadap alam, Islam, dan semua dan merupakan sumber bagi kunci-kunci Allah supaya kita beriman, lebih kenal hidup dan supaya hidup tidak sia-sia. Selain itu, kita perlu kembali kepada tujuan asal penciptaan manusia di muka bumi ini, iaitu: sebagai hamba yang taat dan patuh pada Allah dan sebagai khalifah di atas muka bumi ini.
(catitan dari Fadhilah)
0 coretan:
Post a Comment