28 Nov 2010

Al Asr


For all the time that we have lost,

Did you ever give back to the one you cherish?
or did you always lose faith?
And did you ever say love to the one you care?
or did you always fell heavy when saying?

People who say that yesterday was yesterday,
and today is today,
they have drown.

But because He is Timeless.
And just because,
should we all be in the Exception.
Rather than be in the Deception.


p/s- Thanks to Kak Farah for the Usrah. I write as a reminder, and for my own self too. Much love.

26 Nov 2010

Ini kisah si gebu salji ^^


Kak Izfa : korg tau x knape salji putih?
Kitorang: emm,,emm,,emm,,entahlah..nape eh?
Kak Izfa: Ha, Allah jadikan salji putih ni ade hikmahnye..Bile salji turun kite mesti rase mcm stress sikit la sebab sejuk,susah nak jalan la,langit pun mendung je,hati kita mesti rase macam runsing..Bayangkan kalau salji ni kalernye hitam.
Kitorang: O0o0o..betulla..
Kak Izfa: Bile salji putih,hati jadi senang je ^^
p/s:Thnx kak izfa,lpas ni kalau tgk salji mesti sy ingt kat k iz..Kalau mcm citer my girl tu kan hero msti tringat heroin bile salji lebat..So sy nk tringt dkat kak iz la bile salji turun..hehe..

25 Nov 2010

Cinta Dunia


Rasulullah s.a.w. bersabda,
"Akan tiba masanya kamu akan diserbu oleh bangsa-bangsa lain (musuh-musuh kamu), sebagaimana orang-orang lapar mengadap hidangan di dalam jamuan”. Sahabat bertanya, “Apakah semua itu berlaku disebabkan oleh jumlah kami yang sedikit?”. Rasulullah S.A.W menjawab, “Tidak, bahkan ketika itu jumlah kamu amat ramai, tetapi ramainya kamu tidak lebih dari seumpama buih-buih di laut. Allah akan mencabut dari hati musuh-musuh kamu rasa gerun mereka terhadap dirimu, dan dimasukkan ke hatimu penyakit AL-WAHAN”. Seorang sahabat bertanya, “Ya Rasulullah, apakah al-wahan itu? “Jawab Rasulullah SAW, „Penyakit wahan itu adalah kecintaan yang amat sangat kepada dunia dan takut akan kematian. ”
Hadis riwayat Abu Daud

 Apa yang dimaksudkan dengan dunia?
Firman-Nya,
"Ketahuilah, bahwa sesungguhnya kehidupan dunia itu hanyalah permainan, senda gurau, perhiasan, bermegah-megah antara kamu, berlumba-lumba banyak harta dan anak. Ibarat hujan ( yang menumbuhkan tumbuh-tumbuhan) yang tumbuhnya mengkagumkan para petani. Kemudian tumbuh-tumbuhan itu menjadi kering dan kamu lihat kuning warnanya, kemudian hancur. Dan di akhirat, azab yang keras, keampunan dari Allah dan keredhaanNya. Dan kehidupan dunia itu adalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya."
(Surah Al-Hadiid [57]:20)
Dunia adalah segala sesuatu yang membuat kita lalai kepada Allah. Misalnya, solat dan sedekah tetap dikatakan urusan dunia jika niatnya ingin dipuji makhluk hingga hati lalai terhadap Allah.
Sebaliknya, orang yang sibuk bekerja siang malam mencari wang untuk diagihkan kepada yang memerlukan atau untuk kesejahteraan umat (bukan untuk kepentingan peribadi) walaupun aktivitinya nampak seolah-olah duniawi, namun itu bukanlah termasuk dalam golongan cinta dunia.
Ertinya, segala sesuatu yang membuat kita taat kepada Allah, maka hal itu bukanlah urusan dunia.

 Apa pula yang dimaksudkan dengan cinta?
Menurut hadis Nabi, orang yang sedang jatuh cinta cenderung selalu mengingat dan menyebut orang yang dicintainya (man ahabba syai’an katsura dzikruhu), kata Nabi, orang juga bisa dipermain oleh cintanya
(man ahabba syai’an fa huwa `abduhu). Kata Nabi juga, ciri dari cinta sejati ada tiga :

(1) lebih suka berbicara dengan yang dicintai dibanding dengan yang lain,
(2) lebih suka berkumpul dengan yang dicintai dibanding dengan yang lain,
(3) lebih suka mengikuti kemahuan yang dicintai dibanding kemahuan orang lain/diri sendiri.

Bagi orang yang telah jatuh cinta kepada Allah swt, maka ia lebih suka berbicara dengan Allah swt, dengan membaca firman Nya, lebih suka bercengkerama dengan Allah swt dalam i`tikaf, dan lebih suka mengikuti
perintah Allah swt daripada perintah yang lain.

 Apakah tanda-tanda seseorang itu sudah cinta dunia?
 Mari kita lihat contoh-contohnya:

(1) Bila tiba waktu sembahyang, seseorang itu dengan sengaja melewat-lewatkan sembahyang kerana lebih mengutamakan kerjanya.
(2) Orang yang suka pada jawatan malah berebut-rebut untuk menjadi pemimpin.
(3) Orang yang kaya tetapi bakhil untuk mendermakan hartanya untuk tujuan kebaikan.
(4) Orang yang suka membazir pada barang-barang yang tidak perlu.
(5) Membuat kerja dengan mengharapkan pujian dan sanjungan orang.
(6) Membiarkan jiran-jiran dalam serba kekurangan padahal diri dan keluarga hidup dalam bermewah-mewahan.
(7) Sangat cinta pada diri sehingga mudah merajuk dan sakit hati bila dirinya ditegur dan dimarahi atas kesilapan yang dilakukannya.

Moga-moga kita terhindar daripada cinta dunia dan menjadi orang yang mencintai Allah.

Jika orang sudah cinta dunia, maka akan datang berbagai penyakit hati. Ada yang menjadi sombong, dengki, serakah atau lelah memikirkan yang tak ada. Makin cinta pada dunia, makin tamak haloba manusia jadinya. Bahkan, boleh membuatkan manusia menjadi kejam untuk mendapatkan dunia yang diinginkannya. Pikirannya selalu dunia, siang malam mengejar dunia untuk kepentingan dirinya.

Ciri lainnya adalah takut kehilangan. Seperti orang yang bersandar ke kerusi, maka akan takut sandarannya diambil. Orang yang bersandar ke pangkat atau kedudukan, maka ia akan takut pangkat atau kedudukannya diambil. Oleh sebab itu, pencinta dunia itu tidak pernah merasa bahagia.

Rasulullah s.a.w yang mulia, walau dunia mudah baginya, tetapi semua itu tidak pernah sampai mencuri hatinya. Misalnya, saat pakaian dan kuda terbaiknya ada yang meminta, beliau memberikannya dengan ringan. Beliau juga pernah menyedekahkan satu lembah kambing. Inilah yang membuat baginda tak pernah terpikir untuk berbuat aniaya.

Semua yang ada di langit dan di bumi pinjaman dari Allah semata. Kita tidak mempunyai apa-apa. Hidup di dunia hanya persinggahan sementara saja.

Bagi mengelakkan kita tergolong dalam orang-orang yang cinta pada dunia, kite perlu menjaga hubungan cinta kita dengan Allah, dengan cara:
1) Solat fardhu di awal waktu
2) Bersihkan hati daripada sifat2 mazmumah
3) Qiayamulail iaitu menunaikan solat Tahajud,solat Taubat, solat Hajat, solat Witir dan solat Istikharah(setiap malam atau setiap minggu)
4) Berpuasa sunat Isnin dan Khamis
5) Mengamalkan solat Dhuha setiap hari
6) Memperbanyakkan selawat ke atas Rasulullah SAW setiap hari(jumlah yang disyorkan 1,000 kali sehari)
7) Makan makanan yang halal dan jauh daripada syubhah

Wallahu a'lam.

----
Tulisan Fadhilah :)

Syukur dan Sabar


Assalamualaikum dan salam sejahtera....
Dalam hidup kita sebagai seorang muslim,hidup kita takkan pernah lari daripada ujian.Jika kita diuji dengan kekayaan,maka kita bersyukur.Jika kita diuji dengan kesusahan,contohnya ditimpa penyakit,maka kita bersabar,mencari penawarnya,dan bertawakal kepada Allah swt.Para ulama dan ahli ibadah berpendapat,bahawa ujian ini dapat dapat memanfaatkan orang yang diuji di akhirat kelak jika mereka istiqamah dalam bersabar ataupun bersyukur dalam menghadapi ujian mereka.InsyaAllah kita akan diberi pahala yang setimpal.

Mula-mula ingin saya sentuh mengenai maksud syukur.Syukur dari segi bahasa bermaksud berterima kasih.Dari segi istilah pula syukur bermaksud menggunakan nikmat yang dikurniakan oleh Allah dengan tujuan mentaatiNya.

Ada tiga cara untuk bersyukur.Yang pertama adalah melalui hati,yang kedua melalui ucapan dan yang ketiga melalui perbuatan.Bersyukur dengan hati adalah mengakui bahawa semua nikmat yang kita dapat adalah daripada Allah S.W.T atau tidak mengingkari bahawa rezeki tersebut datang daripadaNya.Bersyukur dengan ucapan dapat dilakukan dengan cara mengucapkan Alhamdulillah yang bermaksud segala puji hanya bagi Allah.Rasulullah s.a.w bersabda, " barangsiapa mengucapkan subhanallah maka bagi 10 kebaikan,barangsiapa membaca Lailahaillallah 20 kebaikan dan Alhamdulillah 30 kebaikan.Bersyukur melalui perbuatan pula adalah menggunakan tubuh yang dianugerahkan oleh Allah ini untuk benda-benda yang baik.Menurut iman Al Ghazali,terdapat 7 anggota yang dapat dimaksimumkan untuk bersyukur iaitu mata,telinga,tangan,perut,kemaluan,kaki dan lidah.

Kenapa kita perlu bersyukur?
1)Kita diciptakan oleh Allah supaya bersyukur.Ini selari dengan firman Allah S.W.T
" Dan Allah mengeluarkan kamu dari perut ibumu dalam keadaan tidak mengetahui apa pun,dan Dia memberi kamu pendengaran,penglihatan dan hati agar kamu bersyukur"
(An Nahl:78)
2)Sesuatu kaum yang bersyukur tidak akan diazab oleh Allah
مَا يَفْعَلُ اللَّهُ بِعَذَابِكُمْ إِنْ شَكَرْتُمْ وَآَمَنْتُمْ وَكَانَ اللَّهُ شَاكِرًا عَلِيمًا

"Mengapa Allah mahu menyiksamu,jika kamu bersyukur dan beriman?Dan Allah adalah Maha Mensyukuri lagi Maha Mengetahui"

(An Nisa:147)

3)Allah akan menambahkan nikmat kepada orang-orang yang bersyukur

وَإِذْ تَأَذَّنَ رَبُّكُمْ لَئِنْ شَكَرْتُمْ لَأَزِيدَنَّكُمْ وَلَئِنْ كَفَرْتُمْ إِنَّ عَذَابِي لَشَدِيدٌ

"Dan (ingatlah juga), tatkala Tuhanmu memaklumkan: "Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah (nikmat) kepadamu, dan jika kamu mengingkari (nikmat-Ku), maka sesungguhnya adzab-Ku sangat pedih"."

( Ibrahim: 7)

4)Kebaikan bersyukur itu untuk kebaikan manusia itu sendiri.Jika kita tidak bersyukur,kita sendirilah yang akan rugi.

وَمَنْ يَشْكُرْ فَإِنَّمَا يَشْكُرُ لِنَفْسِهِ وَمَنْ كَفَرَ فَإِنَّ اللَّهَ غَنِيٌّ حَمِيدٌ

"Dan barang siapa yang bersyukur (kepada Allah), maka sesungguhnya ia bersyukur untuk dirinya sendiri; dan barang siapa yang tidak bersyukur, maka sesungguhnya Allah Maha Kaya lagi Maha Terpuji."

( Luqman: 12)

Sedangkan Rasulullah s.a.w pun sentiasa bersyukur,apatah lagi kita sebagai hamba yang kerdil ini.

Terdapat dalam Sahih al Bukhari, dari Aisyah ra, dia berkata: "Nabi shallallahu 'alaihi wasallam berdiri solat (malam) hingga kedua kaki beliau bengkak." Lalu Aisyah berkata kepada beliau, "Kenapa engkau lakukan ini, ya Rasulullah, bukankah Allah telah mengampuni dosamu yang lalu dan yang akan datang?" Lalu beliau menjawab:

أَفَلَا أُحِبُّ أَنْ أَكُونَ عَبْدًا شَكُورًا

"Tidak bolehkan aku senang menjadi hamba yang bersyukur." (HR. Bukhari)

Kita tidak mahu jadi seperti Firaun,yang diberikan kerajaan yang kuat di Mesir,diberi keistimewaan oleh Allah dengan tidak pernah jatuh sakit,tetapi dia kufur dengan harta yang dimilikinya.Dia menyuruh rakyatnya menyembahnya sebagai tuhan.Akhirnya dia ditenggelamkan dalam Laut merah ketika sedang mengejar Nabi Musa dan kaumnya.

Kita juga tidak mahu jadi seperti Qarun,yang pada mulanya taat beribadah kepada Allah,tetapi apabila dia kaya,dia mengatakan kekayaan itu adalah daripada kepandaiannya sendiri.Padahal,sewaktu dia seorang yang taat beribadah dulu,dia telah pergi kepada Nabi Musa ,dan meminta kepada Nabi Musa supaya dia dikurniakan harta yang banyak,supaya dia ada lebih banyak masa untuk beribadah dan dapat membantu orang lain.Tapi setelah kaya,daripada menyembah Allah yang Esa dia menyembah berhala-berhala pula.Akhirnya dia dan hartanya ditenggelamkan ke dalam bumi oleh Allah s.w.t

Seterusnya mari kita lihat maksud sabar pula.Sabar dari segi bahasa adalah menahan.Dari segi istilah pula,sabar bermaksud kekuatan jiwa untuk menahan diri daripada berakhlak buruk apabila menghadapi sesuatu.

Antara jenis-jenis sabar

1)Sabar dalam melaksanakan perintah agama

Dalam melaksanakan perintah agama,kita mestilah tidak mengeluh.Kita mestilah cuba untuk memperbaiki amalan-amalan kita contohnya solat.Tuhan sendiri memerintahkan kita untuk bersabar semasa mengerjakan solat.

"Jadikanlah sabar dan solat itu penolongmu.Dan sesungguhnya yang demikian itu sungguh berat,kecuali bagi orang-orang yang khusyuk."

(al Baqarah:45)

Begitu juga dalam menjauhi larangan agama.Seorang yang bersabar akan cuba mengelakkan daripada melakukan perkara-perkara larangan tanpa memberi pelbagai dalih.

2)Sabar dalam ujian yang dihadapi.Jika kita ditimpa ujian yang mendukacitakan,kita hendaklah bersabar.Kita tidak boleh terlalu larut dalam kesedihan kerana pasti ada anasir-anasir yang akan cuba menggunakan kesedihan kita untuk lalai daripada mengingatiNya atau menjadikannya sebab untuk menyalahkan takdir.

Namun begitu,apabila kita melihat suatu kezaliman berlaku dan kita mendiamkan diri,itu tidak dikira sebagai bersabar,tetapi lebih kepada dayus.Sabar itu juga sebenarnya tindakan menentang kezaliman,tetapi dengan akhlak yang mulia.

Sabar ini juga seperti iman,kadang-kadang datang,kadang-kadang pergi,kadang-kadang tinggi kadang-kadang rendah.Cara-cara meraih sabar adalah:

1)Sentiasa prihatin dengan keadaan diri dan sentiasa menasihati diri sendiri

2)Ahli-ahli keluarga atau rakan saling mengingati supaya bersabar dengan menggunakan ayat-ayat Quran.

3)Memohon pertolongan daripada Allah

"Dan bersabarlah dan tiadalah kamu dapat bersabar melainkan dengan pertolongan Allah"

(Al Nahl : 127)

Kita dapat melihat contoh orang yang bersabar daripada Nabi Ayub.Baginda pada mulanya hidup bahagia dan mempunyai harta yang cukup.Akan tetapi,harta baginda semakin berkurang,dan anak-anaknya meninggal,dan ditimpa penyakit sopak.Akan tetapi,baginda tetap percaya kepada Allah dan menganggap bahawa ada hikmah disebalik kedukaan ini.Akhirnya kedukaan baginda diganti dengan kebahagiaan dan baginda diangkat darjat sebagai orang yang sabar di atas ujian yang menimpa.

Sebelum mengakhiri artikel ini,ada sebuah hadis yang sungguh cantik untuk dikongsi bersama.
Dari Abu Yahya,Syuhaib bin Sinan,Rasulullah s.a.w bersabda
" Sungguh mempesonakan urusan orang yang beriman.Kerana semua urusannya adalah baik baginya.Dan hal yang demikian itu hanya dimiliki oleh orang-orang yang beriman.Jika dia mendapat kebaikan,dia akan bersyukur,kerana hal itu yang terbaik baginya,jika dia mendapat kesulitan,maka dia bersabar,kerana dia tahu perkara itu baik baginya."
HR Muslim.

Sabar dan syukur merupakan kayu pengukur sejauh mana kita lulus dalam ujian yang diberikanNya.Sebagaimana kita berusaha hendak lulus dalam klausur,begitu juga kita mestilah berusaha untuk lulus dalam ujian yang sebenar-benar ujian ini.Kita selalu risau jika tidak lulus dalam ujian/peperiksaan yang kita hadapi.Tetapi bagaimana pula jika kita gagal dalam ujian yang bakal menentukan kehidupan kita selama-lamanya di akhirat kelak?Inilah persoalan yang harus kita tanamkan dalam diri kita semua,sebab kadang-kadang kita ambil mudah mengenai perkara tersebut.Sekian terima kasih.

15 Nov 2010

Selamat Hari Raya AidilAdha


Kami  mengucapkan Selamat Hari Raya Aidil Adha kepada semua pengunjung Teratak Wihdah. Mari kita sama-sama menghayati pengorbanan para anbiya dan para pejuang agama Allah di sepanjang zaman. Semoga kita juga mengikuti semangat pengorbanan mereka dalam mencari keredhaan Allah.

Maaf Zahir dan Batin.

15 May 2010

Surat terbuka untuk semua


Salam Adikku,

Dikala ini, dunia penuh dengan kejahilan. Cuba lihat dalam dirimu. Berapa peratuskah jahiliyah telah meresap dalam dirimu? Dulunya aku juga begitu. Sebelum menemukan dengan jalan tarbiyah ini. Aku serupa dirimu. Malahan mungkin aku lebih teruk dari itu.

Tapi aku diselamatkan Allah yang menarikku ke jalan tarbiyah. Yang membersihkan jiwa dan jasadku. Yang memimpinku kembali kepada ’tuanku’ setelah hanyut dalam dunia ciptaan manusia sendiri.

Adikku,
Kau mungkin baru pertama kali mendengar perkataan tarbiyah. Atau mungkin kau sudah muak mendengarkannya. Tapi adakah kau faham apakah tarbiyah itu? Mengapa tarbiyah? Apakah tarbiyah dapat berikan kepadamu? Kupetik kata-kata Mustafa Al Mansur ;
”Tarbiyah bukan segalanya. Tetapi segala-galanya ada dalam tarbiyah”
Tidakkah kau lihat kenapa Abu Bakar sanggup menginfakkan keseluruhan hartanya untuk peperangan? Mengapa Bilal rela disiksa demi mempertahankan keislamannya? Adakah jiwa-jiwa yang tulus ini terhasil sendirinya? Adakah akhlak yang mulia ini terbentuk dengan seketika sahaja? Tidak adikku, semuanya kerana tarbiyah itu.

Sekarang, kau ukur dirimu. Di manakah tahapanmu? Mungkin kau kata, Ah..Abu Bakar boleh la, beliau hidup sezaman dengan Rasulullah. Dapat direct tarbiyah dari Rasulullah.

Adikku,
Tarbiyah itu jika ku kutip dari buku Manhaj Tarbiyah Ikhwanul Muslimin maknanya,
“Cara ideal dalam berinteraksi dengan fitrah manusia, baik secara langsung melalui kata-kata maupun secara tidak langsung dalam bentuk keteladanan, sesuai dengan sistem dan peringkat khusus yang diyakini, untuk memproses perubahan dalam diri manusia menuju kondisi yang lebih baik”.
Dengan kata mudah, Tarbiyah itu satu proses pembentukan dirimu dengan persiapan menyeluruh meneyentuh seluh aspek kehidupan meliputi ruh, jasmani dan fikiranmu.

Untuk apa tarbiyah ini? Tidak lain dan tidak bukan untuk mecapai status ’umat terbaik’ yang Allah sebut dalam Surah Al Imran, ayat 110 yang berbunyi ;
“Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia,menyuruh kepada yang ma'ruf, dan mencegah dari yang mungkar,dan beriman kepada Allah. sekiranya ahli Kitab beriman,tentulah itu lebih baik bagi mereka, di antara mereka ada yang beriman,dan kebanyakan mereka adalah orang-orang yang fasik.” [Ali-’Imran: 110]
Tidakkah kamu ingin menjadi umat terbaik? Mari aku tunjuk jalannya untuk mencapai cita-cita yang tinggi ini. Iaitu dengan jalan tarbiyah.

Dengan Tarbiyah akan membentuk keimanan yang melahirkan ibadah kepada Allah semata-mata, tarbiyah akan menegakkan kekhalifahan di muka bumi seterusnya memakmurkan bumi ini. Jika kau lihat, tarbiyah ini adalah proses untuk kau memenuhi tujuan kehidupan kau di dunia ini. Iaitu, sebagai khalifah dan sebagai hamba.


Adikku,
Tarbiyah bukan lah satu proses pemindahan ilmu semata, malahan proses yang lebih menyeluruh untuk membentuk dirimu sebagai salh seorang umat yang terbaik! Jadi, aku tidak nampak kenapa perlu kau lari dari jalan tarbiyah ini.

Jika kau mahu menjadi seorang ahli farmasi, tarbiyah akan membentuk mu bukan sahaja bertanggungjawab memberikan ubat jasadi kepada pesakit, tetapi mungkin juga ubat hati. Segala tanggungjawab yang kau laksanakan adalah satu ibadah. Kau bukan sahaja menyumbang kepada masyarakat, tetapi kau menyumbang sesuatu kepada agama, mengingatkan dirimu dan orang lain bahawa kehidupan akhirat itu akan pasti dilalui.

Jika kau menjadi seorang jurutera, tarbiyah bukan sahaja membentukmu menjadi jurutera yang mahir dengan segala mesin, malahan mahir dalam mengurusi manusia dan membawa kepada Allah.

Tarbiyah membawa kalian kembali kepada Allah, meletakkan hidayah itu dalam genggaman mu InsyaAllah. Tidakkah itu yang kamu mahukan? Kerana di akhir hidupmu adikku, kau akan kembali kepada Allah jua. Dan Tarbiyah akan sentiasa memperingatkan engkau akan hal ini.


Adikku,

Proses Tarbiyah mestilah berterusan, tidak boleh diabaikan atau dihentikan separuh jalan atau ditamatkan. Prosesnya mencakupi sepanjang hayat seorang muslim.


Menurut Al Syeikh Mustafa Masyur bahawa Tarbiyah dan pembersihan jiwa diumpamakan seperti makanan dan siraman bagi pokok yang disemai atau ditanam. Jika pokok tidak dibajai dan disirami sentiasa, maka ia akan layu dan kering. la akan terus hidup subur jika dibajai dan disirami. Demikianlah manusia. Hidup sebenarnya bagi individu adalah kerana adanya iman. Hidup manusia sebenarnya adalah hidup hatinya dengan keimanan bukan hidup jasad yang akan fana. Iman di dalam hati itulah yang akan melahirkan kehidupan yang bermakna. Hati perlu digilap selalu kerana ia mungkin berkarat. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:


"Sesungguhnya hati manusia itu berkarat seperti berkaratnya besi. Sababat-sababat bertanya: Apakah pengilapnya wahai Rasulullah?. Rasulullah menerangkan: membaca Al Quran dan mengingati maut (mati).' (HR Al Baibaqi)

lman yang berada dalam iiwa manusia sentiasa terdedah kepada kelunturan dan kelemahan kerana dijangkiti oleh berbagai penyakit seperti kesibukan urusan duniawi, dan lain-lain. Oleh itu kita perlu banyak memohon pertolongan kepada Allah SWT dengan sentiasa memperbaharui keimanan kita. Sabda Rasulullah SAW :
"Sesungguhnya iman itu boleb lusuh seperti lusuhnya pakaian, maka bendaklah kamu memohon doa kepada Allah SWT supaya diperbaharui keimanan itu di dalam jiwa kamu.' (HR Al Hakim dan At Tabrani)
Adikku,
Hidup di Malaysia bukan mudah. Jika tarbiyah mu di sini terjaga, aku risau kau akan mula hanyut apabila pulang ke sana. Maka, penerusan tarbiyah itu amat penting.Tapi ia memerlukan usaha dari dirimu sendiri. Perlukan kesedaran tentang kepentingan tarbiyah itu. Jika kau merasakan tarbiyah itu tidak penting, kau ulangi bacaan surat ini dari awal.

Dikala jahiliyah yang terlalu menyesak dada di negara kita, tarbiyah akan menyelamatkan kita semua. Tarbiyah tidak lain tidak bukan sudah aku katakan akan membawamu kembali kepada Allha. Mengembalikan keyakinan dirimu yang hidup di dunia ini sementara. Yang dikejar adalah akhirat nanti. Yang mengingatkan kiamat itu adalah pasti. Jika lari, atau pun kau bersendiri dalam mentarbiyahkan dirimu...aku takut kau akan hanyut.

Bila kau pulang nanti, jadikanlah Al Quran itu penemanmu sepanjang masa. Kerana dalam tarbiyah itu, komponen tilawatul quran itu adalah salah satunya. Bukan setakat membaca, kau tadabbur, ambil pengajaran dan jadikanlah sebagai panduan. Selain itu, cubalah sehabis baik agar kau berada dalam lingkungan yang baik. Dapatkan biah solehah itu. Jangan larikan diri dari usrah dan halaqah. Kerana unsur tazkiyah, penyucian itu ada di dalamnya. Tetaplah kau berdamping dengan orang-orang yang boleh sentiasa mengingati mu. Jangan jemu mencari suasana itu. Jangan jemu mencari jalan tarbiyah itu.

Kerana ajal kita tidak dapat menjangkakannya, aku takut kehidupan kita akan berakhir dengan pengakhiran yang buruk. Kerana itu aku menyeru akan keterikatan dalam tarbiyah ini. Biarlah kita melalui Pengakhiran di dunia dengan keimanan yang tinggi. Kerana apa yang kita mahukan adalah jannah Allah. Oleh itu berusahalah untuknya. Teruskanlah dirimu dalam tarbiyah ini. InsyaAllah....

Salam sayang,

Mimi, Glasgow
15 Mei 2010

31 Mar 2010

Myfruehling@de


Alhamdullilah selesai sudah program kita di Bingen yang di plan oleh Masulah dengan kerjasama geng2 Wihdah. Alhamdulillah akhirnya dapat juga kita kenal karakter masing2, yang selama ni dengar suara saja kat skype. Alhamdulillah Allah pertemukan kita juga dengan geng2 selain Wihdah. Walaupon kita hanya sempat recap ISK, SH dan cover Wahai Pemuda, tapi yang paling penting, semua nya itu dapat dihadam oleh kita semua.
Gambar ni masa recap ISK dan SH.

Program sebegini sekali sekala sangat penting untuk mengubati hati dan menaikkan semangat kita untuk terus berjuang ke jalan Allah dan mencari jalan ke syurga yang semestinya menjadi idaman setiap muslim.

Terima kasih kepada chef2 semua yang menyediakan makanan sedap2 sepanjang program di sana. Macam2 menu ada.
Yang ni menu sarapan. Selain tu adalah menu ayam bakar, ayam masak lemak cili api dan ayam masak merah. Gambar2 menu lain tak sempat diambil, sebab lapar sangat kot masa tu.

Si comel Izzah yang memeriahkan suasana.

Jalan2 di ladang anggur Bingen yang tenang dan permai seperti pulang ke kampung halaman. Walaupon sejuk pagi2 tu tapi tetap juga best.

Kek Birthday Ilham yang dibuat khas oleh K.Mimi. K. Mimi selalunya bake masa stress, harap2 kali ni k.Mimi buat kek bukan sebab stress dengan kami :)



Yang ni pula masa jalan2 di Rüdesheim, yang berada di seberang bandar Bingen. Kat Rüdesheim ni boleh naik cable car ke puncak nya.

Lepas jalan2 ke Rüdesheim ni, seorang demi seorang pulang ke tempat masing-masing. Geng2 Wihdah yang masih ada melawat  K.Na dan keluarga di Idstein keesokan harinya. Perjalanan ke Idstein ni memang rasa macam balik ke kampung kerana kawasannya yang sangat damai dan tenang.

Pemandangan dari rumah K.Na


Pengat pisang special yang disajikan keluarga K.Na. Sebelum tu kami disajikan nasi berlauk kari ayam, telur, sambal belacan, budu dan keropok keping. Memang sangat membuka selera. Terima kasih diucapkan kepada keluarga K.Na.

Esoknya kami berkelah pulak kat Bad Münster. Wahhh dah lama tak picnic kat sungai sebenarnya ni. Seronok sangat, ditambah pula dengan bihun goreng Ilham dan Nisa yang sedap, cupcake Rawaidah yang sedap, sandwich yang sedap. Semuanya sedap lah.


Kami ingat lepas makan ni, nak naik bot kat sungai tu, tapi tak boleh sebab arus deras. Takpelah, takde rezeki lah tu.


Aktiviti makan aiskrim. Cuba teka, siapa punya yang paling kecik tu ;)

Petang tu, Nisa n K.Mima pula balik ke tempat masing2 dan berakhirlah program kami di Bingen. Semoga ukhwah kita terus terjalin. Marilah kita sama2 berusaha menjadi orang yang membuat sejarah, dan bukan orang yang hanya melihat sejarah. InshaAllah. Jumpa nanti di Berlin!

19 Mar 2010

Sambungan Muqaddimah Tafsir Fi Zilal


Usrah 30 Januari 2010

Muka surat 4 dari Tafsir Fi zilal.



„Di bawah bayangan al-Qur’an juga aku dapat mempelajari bahawa di dalam alam al-wujud ini tiada ruang bagi kebetulan yang membuta tuli dan bagi kejadian-kejadian luar dugaan yang mendadak.“
إِنَّا كُلَّ شَيْءٍ خَلَقْنَاهُ بِقَدَرٍ (49)
49. “Sesungguhnya Kami ciptakan segala sesuatu itu dengan ukuran yang rapi”
(Surah al-Qamar)

Tidaklah setiap perkara yang berlaku di atas muka bumi ini berlaku secara kebetulan mahupun di luar dugaan melainkan untuk setiapnya telah ditentukan secara teliti oleh Allah dan setiap yang berlaku dengan izin Allah terkandung di dalamnya sebab yang hanya Allah sahaja yang lebih mengetahui akan kejadiannya.
Contoh
Matahari telah diciptakan oleh Allah dengan jarak tertentu daripada bumi untuk membolehkan bumi sesuai didiami benda hidup dalam keadaan yang tidak terlalu panas dan tidak terlampau sejuk.

وَخَلَقَ كُلَّ شَيْءٍ فَقَدَّرَهُ تَقْدِيرًا (29)
2. “Dan Dialah yang menciptakan tiap-tiap sesuatu iaitu menentukan keadaan makhluk itu dengan ketentuan takdir yang sempurna.”
(Surah al-Furqan)

Segala-gala yang berlaku pada masa sekarang telah ditentukan beribu-ribu tahun dahulu dan ditulis di Luh Mahfuz. Kita tidak sedar apa yang wujud di dunia sekarang sebenarnya telah tercatat dan ditentukan akan berlaku.
Contoh
Kejayaan manusia menjejakkan kaki di angkasa telah pun diterangkan dalam Al-Quran yang diturunkan 1400 tahun yang lalu.

Setiap perkara dan kejadian ada hikmatnya, tetapi hikmat itu adalah suatu hikmat ghaib yang amat mendalam dan mungkin tidak ternampak kepada pandangan manusia yang singkat.

Semua perkara diciptakan oleh Allah dengan sebab yang baik. Kita mungkin tertanya-tanya apa gunanya Allah menciptakan makhluk lalat yang kotor dan sukakan kekotoran dan kenapa ia diciptakan. Mungkin sama sekali kita tidak terfikir disebalik penciptaan lalat itu ia adalah satu makhluk yang membuatkan semua orang sama rata. Lalat tidak memilih individu yang hendak dihinggapinya. Tidak ada jaminan seseorang itu kaya, wangi atau pembersih untuk tidak dihinggapi lalat. Sebagai contoh, raja juga dihinggapi lalat. Allah maha bijaksana yang mencipta semuanya pada kadarnya secara adil. Setiap yang berlaku bukanlah sebab daripada sesuatu yang lain tetapi segalanya dari Allah. Contohnya kita gagal dalam peperiksaan bukan sebab kita tak study tetapi semua berlaku dengan iradat Allah. Kita sama sekali tiada pengetahuan jika dibandingkan dengan Allah. Allah tidak akan menentukan sesuatu yang teruk kepada hambanya. Kesusahan yang diberikan oleh Allah bukanlah sesuatu yang buruk sebaliknya ia mungkin pengajaran yang berguna untuk kita atau dalam contoh lain sakit yang diberi oleh Allah adalah sebab sebagai penghapus dosa kita.

Segala sebab-sebab yang diketahui umum itu kadang-kadang melahirkan kesan kesannya dan kadang-kadang tidak, begitu juga muqaddimah/primisa yang dianggap orang sebagai pasti kadang-kadang melahirkan natijah dan kadang-kadang tidak, kerana sebab-sebab dan muqaddimah-muqaddimah itu sendiri bukanlah berkuasa mewujudkan kesan-kesan dan natijah-natijah itu, malah iradat* Allah yang bebas itulah yang mewujudkan kesan-kesan dan natijah-natijah itu di samping mewujudkan sebab-sebab dan muqaddimah itu sendiri.
*iradat = kebebasan Allah melakukan apa saja tanpa terikat kepada apa-apa.

Allah maha mengetahui. Hanya Allah sahaja yang mengetahui dengan tepat semua yang berlaku dan sebab berlakunya perkara tersebut. Sebagai contoh, pergerakan plat bumi yang mengakibatkan gempa hanya Allah sahaja yang tahu bagaimana dan kenapa ia berlaku secara terperinci. Segala yang diatur oleh Allah ini bertujuan supaya kita berfikir akan hikmah disebaliknya. Mungkinkah di suatu itu terdapat terlalu ramai penduduk dan ramai pula yang melakukan dosa atau mungkin ianya sebagai teguran untuk manusia tetapi yang pastinya ia adalah sesuatu untuk kebaikan akan datang
.

Muka surat 5


Orang yang beriman menggunakan sebab-sebab kerana ia diperintah berbuat begitu, tetapi Allahlah yang menentukan kesan-kesan dan natijah-natijahnya. Keyakinan kepada rahmat Allah dan keadilan-Nya, kepada hikmat kebijaksanaan Allah dan ilmu-Nya itulah satu satunya tempat perlindungan yang aman dan tempat yang selamat dari bisikan-bisikan dan godaan-godaan syaitan.
Sebagai orang yang beriman kita mesti mentaati segala perintah dan menjauhi segala larangan Allah. Kita tidak boleh makan babi dan perlu sentiasa menutup aurat contohnya. Ringkasnya kita perlu ikut sahaja apa yang telah ditetapkan. Oleh sebab itu islam adalah sangat mudah kerana kita hanya perlu mengikuti panduan yang telah diberikan oleh Allah. Jika dikaji segala perintah dan larangan Allah tedapat kebaikan disebaliknya. Contohnya, dalam daging babi ada ulat yang berbahaya kepada manusia. Jadi, sekiranya kita ikut segala ketetapan dari Allah, kita dapat lindungi diri kita dari syaitan dan apabila kita yakin dengan Allah kita akan sentiasa rasa selamat.

Contoh

Pada seorang wanita yang masih belum bertemu jodohnya, Allah sebenarnya mahu menguji sejauh mana tahap kesabaran dan ketaatannya sepanjang menempuhi dugaan ini. Mungkin saja keluarganya lebih memerlukannya pada ketika ini lebih dari dia memerlukan seorang suami. Jika dia tidak kuat untuk melawan godaan syaitan, sudah pasti dirinya akan hanyut dan melakukan perkara yang dilarang oleh Allah. Tetapi seandainya dirinya kuat bahkan tidak jemu berdoa dan berserah pada Allah, nescaya akan terhindarlah dirinya dari maksiat. Walaupun tiada jodohnya di dunia, di akhirat nanti pasti akan mendapat ganjaran dari Allah.

Muka surat 6
Sistem hidup yang diatur oleh Allah — sebagaimana yang dapat dilihat di bawah bayangan al-Qur’an — adalah digubal supaya ia dapat bertindak di dalam setiap masyarakat dan di dalam setiap peringkat perkembangan hidup manusia, juga dalam setiap keadaan jiwa umat manusia yang sama. Sistem ini digubal untuk manusia yang hidup di bumi ini dengan mengambil kira fitrah manusia, tenaga-tenaga, bakat-bakat semulajadinya, kekuatan dan kelemahannya, juga mengambil kira keadaan-keadaannya yang berubah yang dialaminya.
Hidup ini umpama seperti sekolah yang teratur. Dari mula kita hidup hinggalah kita mati boleh kita ibaratkan seperti setiap hari apa yang kita buat di sekolah atau lebih dikenali dengan sistem persekolahan. Setiap sistem boleh kita nampak dengan jelas dalam al-Qur’an. Contohnya, dalam sistem masyarakat perlu ada seorang ketua sebagaiman yang ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.w. Semua sistem yang ada di dunia sekarang ini seperti demokrasi, liberal, komunisme, semuanya digubal oleh manusia dan sama sekali tidak sempurna. Hanya sistem dari Allah sahaja yang sempurna kerana Allah sebagai pencipta tahu apa yang terbaik untuk makhluk ciptaanNya. Sama macam manusia yang menciptakan robot. Lemahnya robot sehingga dia sendiri tak tahu fungsinya sendiri. Natijahnya, siri peperangan yang berlaku sekarang ini adalah disebabkan manusia yang tidak mahu mengikut sistem dari Allah. Allah mengatur sistem yang sesuai dengan fitrah manusia. Sistem Allah adalah berdasarkan dua benda iaitu manusia dijadikan sebagai khalifah di muka bumi dan sebagai hamba Allah untuk mengabdikan diri kepadaNya.

Muka surat 7
Dan dalam dua keadaan ini sistem ini juga tidak mengandaikan bahawa asas-asas fitrah makhluk insan ini adalah asas-asas yang dangkal yang hanya wujud dengan kuasa undang undang atau boleh dihapuskan dengan hujung pena sahaja, malah makhluk insan ini dengan fitrah semulajadinya, dengan kecenderungan dan bakat-bakat semulajadinya adalah dipimpin oleh sistem hidup ilahi ini untuk mengangkatnya kepada setinggi darjah kesempurnaan yang telah ditentukan kepadanya, sesuai dengan kejadian dan tugasnya dan untuk menghormati dirinya, fitrah semulajadinya dan nilai-nilainya apabila ia memimpinnya di jalan kesempurnaan menuju kepada Allah. Oleh sebab itulah sistem hidup Ilahi ini diciptakan untuk jangka waktu yang amat panjang yang hanya diketahui Allah yang menciptakan insan dan menurunkan al-Qur’an ini sahaja.
Sistem yang diambil daripada al-Qur’an dicipta untuk jangka masa yang panjang. Apa yang dilakukan pada hari ini kesannya akan dibawa ke akan datang. Atau dengan kata lain setiap perbuatan kita di dunia ini akan dibawa untuk penghisaban ke akhirat, jadi sangat panjanglah. Sebagai persiapan untuk bekalan yg akan dibawa dan dihisab di akhirat kelak kita perlulah sentiasa perbaiki diri. Pertama, kita perlu membersihkan hati. Kedua, kita perlu tingkatkan amal dan seterusnya untuk mencari keredhaan Allah.

Muka surat 8
Allah S.W.T. itulah yang benar/al-Haq dan kewujudan Allah Ta’ala inilah segala makhluk yang ada mengambil kewujudannya.
Allah telah menciptakan alam buana ini dengan kebenaran/al-Haq dan tidak bercampur-aduk dengan kebatilan dan kepalsuan.
Kebenaran itulah yang menjadi tapak asas alam al-wujud ini dan apabila ia menyeleweng darinya ia akan rosak dan musna
h
Kita sudah nampak sistem hidup Allah. Semua ada hikmahnya. Jadi,mengapa kite mashu mencari sumber yang lain? Segalanya sudah jelas dan nyata. Semuanya benar belaka. Tiada satu pun yang palsu. Kalau kita menyimpang maka akan rosaklah alam ini. Manusia secara kebiasaannya mengikut hati. Kalau baik hatinya, maka baiklah dan begitu juga sebaliknya. Oleh itu, semua perkara perlu dibuat mengikut kebenaran dan bukan berlandaskan hati semata dan kita perlu yakin bahawa agama kita benar kerana itulah janji Allah. Ilmu yang kita miliki ini pun semuanya ilmu Allah.

Muka surat 9

Manakah ketenteraman yang lebih ni’mat dari ketenteraman yang dilahirkan oleh kefahaman dan tanggapan ini? Manakah ketenangan yang lebih ni’mat dan ketenangan yang dicurahkan ke dalam hati oleh kefahaman dan tanggapan ini? Manakah kepercayaan terhadap kebenaran, kebaikan dan keislahan yang lebih kuat dan kepercayaan ini? Dan manakah suatu kekuatan dan keunggulan yang mengatasi realiti hidup yang kecil ini yang dicurahkan ke dalam hati nurani oleh kefahaman dan tanggapan ini?
Masa penghayatanku di bawah bayangan al-Qur’an itu berakhir dengan satu keyakinan yang teguh dan tegas, iaitu dunia ini tidak akan mencapai kebaikan dan umat manusia tidak akan mencapai kerehatan, ketenteraman, ketinggian, keberkatan, kesucian dan keselarasan dengan undang-undang alam buana dan fitrah hidup yang suci melainkan dengan kembali kepada Alla
h.

Setiap jiwa yang meyakini segala yang terkandung dalam Al-Quran sebagai perintah dari Allah pasti akan merasakan ketenangan dan ketenteraman yang tiada tolok bandingnya. Ringkasnya, kita perlu kembali kepada Allah. Oleh sebab itu kita kena belajar dan memahami setiap isi al-Qur’an.

Muka surat 10

Berhakimkan kepada sistem hidup yang diatur oleh Allah dalam kitab sucinya itu bukanlah suatu perkara sunat, bukan perkara sukarela dan bukan perkara pilihan, malah ia adalah perkara beriman atau tidak beriman.
Kita perlu kembali kepada syariat Allah, bukannya tunduk kepada hawa nafsu. Al-Quran adalah sumber terbaik dan lengkap yang telah diturunkan oleh Allah melalui rasulnya Muhammad s.a.w. untuk menuntun kita ke jalan yang benar dan diredhai Allah. Maka banyakkanlah muhasabah diri sama ada mahu mengikuti apa yang tertulis dalam al-Qur’an atau tidak. Apabila kita melanggar sunnatullah, maka akan berlakulah keburukan pada diri kita. Kita perlukan nafsu untuk makan, minum, kahwin, tapi perlu seiring dengan pertimbangan akal. Pertimbangan akal bergantung pada hati dan hati bergantung pada iman.

Perkara ini adalah suatu perkara yang amat serius. Ia adalah perkara aqidah dan asasnya lagi. Ia adalah perkara kebahagiaan atau kecelakaan manusia.
Umat manusia yang diciptakan Allah ini tidak dapat dibuka pintu fitrah yang tertutup itu melainkan dengan anak-anak kunci dari ciptaan Allah itu dan penyakit-penyakitnya tidak boleh diubati melainkan dengan penawar yang dicipta oleh Allah SW.T. Allah telah menyediakan di dalam sistem hidup yang diaturkan olehNya itu anak anak kunci untuk membuka segala pintu yang tertutup dan penawar untuk mengubatkan segala penyakit.

Orang kafir tertutupnya fitrah mereka dengan tidak menyembah Allah. Misalnya seperti firaun yang mana dah nak tenggelam baru ingat akan Allah atau baru terbuka fitrah dia. Jadi untuk kita, bagaimana kita nak dapatkan kunci dari Allah? Mediumnya ialah al-Qur’an iaitu cara kita berinteraksi dengan Allah. Semua kunci-kunci dunia ada dalam al-Qur’an, kita hanya tinggal mencarinya saja. Malah al-Qur’an juga merupakan sumber hidayah. (seperti kisah saidina Umar r.a memeluk islam dalam entry yang lepas)

Kesimpulan
Kesimpulannya, al-Qur’an membentuk kefahaman terhadap alam, Islam, dan semua dan merupakan sumber bagi kunci-kunci Allah supaya kita beriman, lebih kenal hidup dan supaya hidup tidak sia-sia. Selain itu, kita perlu kembali kepada tujuan asal penciptaan manusia di muka bumi ini, iaitu: sebagai hamba yang taat dan patuh pada Allah dan sebagai khalifah di atas muka bumi ini.


(catitan dari Fadhilah)

10 Mar 2010

Tadabbur Al Baqarah ayat 164-167


Ayat 164 :
 Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi; dan (pada) pertukaran malam dan siang; dan (pada) kapal-kapal yang belayar di laut dengan membawa benda-benda yang bermanfaat kepada manusia; demikian juga (pada) air hujan yang Allah turunkan dari langit lalu Allah hidupkan dengannya tumbuh-tumbuhan di bumi sesudah matinya, serta Ia biakkan padanya dari berbagai-bagai jenis binatang; demikian juga (pada) peredaran angin dan awan yang tunduk (kepada kuasa Allah) terapung-apung di antara langit dengan bumi; sesungguhnya (pada semuanya itu) ada tanda-tanda (yang membuktikan keesaan Allah kekuasaanNya, kebijaksanaanNya, dan keluasan rahmatNya) bagi kaum yang (mahu) menggunakan akal fikiran.

Pada setiap penciptaan langit dan bumi, Allah telah menetapkan kadar dan ketetapanNya seperti yang telah tertulis dalam Al-quran. Bagi orang-orang yang mengikuti peraturan yang sudah ada dalam Al-Quran akan merasa nikmat Allah dalam penghidupan dan kehidupan di atas dunia ini.  

Ayat 165: 

(Walaupun demikian), ada juga di antara manusia yang mengambil selain dari Allah (untuk menjadi) sekutu-sekutu (Allah), mereka mencintainya, (memuja dan mentaatinya) sebagaimana mereka mencintai Allah; sedang orang-orang yang beriman itu lebih cinta (taat) kepada Allah. Dan kalaulah orang-orang yang melakukan kezaliman (syirik) itu mengetahui ketika mereka melihat azab pada hari akhirat kelak, bahawa sesungguhnya kekuatan dan kekuasaan itu semuanya tertentu bagi Allah, dan bahawa sesungguhnya Allah Maha berat azab seksaNya, (nescaya mereka tidak melakukan kezaliman itu).

Manusia itu sentiasa menzalami diri sendiri dengan mengingkari perintah Allah. Persoalan yang perlu kita fikirkan sentiasa, ADAKAH SAYA MENZALIMI DIRI SENDIRI? Kita haruslah sentiasa bertaubat dan memohon ampunan pada Allah. Sebagai seorang manusia, kita tidak terlepas dari dosa dan menzalimi diri sendiri. Senantiasa lah membersihkan diri dan hati dengan memperbanyakkan amalan yang di redhai Allah, serta mengingati Allah.

Ayat 166 : 
(Iaitu) ketika ketua-ketua yang menjadi ikutan itu berlepas diri dari orang-orang yang mengikutnya, sedang kedua-dua pihak melihat betapa ngerinya azab seksa itu, dan (ketika) terputusnya segala hubungan di antara mereka.

Di akhirat nanti, kita tiada hubungan dengan orang lain. Masing-masing pada ketika itu, sibuk dengan perhitungan amalan masing-masing. Amalan yang baik akan cepat dihisab manakala amalan yang buruk dan jahat, akan banyak di azab dan lambat di hisab. Setiap orang akan berlepas tangan, dan hanya amalan sahaja yang akan dapat membantu, yakni amalan yang baik. Sebagai seorang muslim, kita perlu yakin bahawa ayat-ayat Allah melalui Quran adalah peringatan untuk setiap diri. Setiap perkara yang ingin kita lakukan perlulah di reflekskan pada suruhan dan larangan Allah, supaya kita menjadi seorang yang sentiasa di bawah rahmat Allah. Ingatlah, bahawa MATI ITU PASTI.

Ayat 167: 

Dan (pada masa yang mengecewakan itu) berkatalah orang-orang yang menjadi pengikut: Alangkah eloknya kalau kami (dengan itu dapat kami berlepas diri daripada mereka sebagaimana mereka berlepas diri daripada kami (pada saat ini)!" Demikianlah Allah perlihatkan kepada mereka amal-amal mereka (dengan rupa yang mendatangkan) penyesalan yang amat sangat kepada mereka, dan mereka pula tidak akan dapat keluar dari neraka.

Pada hari pembalasan nanti, golongan kafir akan minta pada Allah untuk kembali ke dunia. Namun begitu, penyesalan di akhirat nanti adalah tidak berguna sama sekali. Sekarang adalah masanya! Masih ada sisa masa untuk kita menyesal, dan berazam menjadi muslim yang lebih baik. Berazam untuk mentaati segala perintah Allah.

by: Izfa 

27 Feb 2010

Kisah Abu Dzar (slot ke2 usrah 21Feb2010)



Abu Dzar Al-Ghifari (Sahabat Yang Teguh & Cerdas)

Abu Dzar al-Ghifari merupakan seorang sahabat Nabi SAW yang terkenal dengan perbendaharaan ilmu pengetahuannya dan kesolehannya. Ali RA berkata mengenai Abu Dzar RA: “Abu Dzar ialah penyimpan jenis-jenis ilmu pengetahuan yang tidak dapat diperolehi dari orang lain.”
Ketika dia mulai mendengar khabar tentang kerasulan Nabi SAW, dia telah mengutus saudara lelakinya menyelidiki lebih lanjut mengenai orang yang mengaku menerima berita dari langit. Setelah puas menyelidiki, saudaranya pun melaporkan kepada Abu Dzar bahawa Nabi Muhammad SAW itu seorang yang sopan santun dan baik budi pekertinya. Ayat-ayat yang dibacakan kepada manusia bukannya puisi dan bukan pula kata-kata ahli syair. Laporan yang disampaikan itu masih belum memuaskan hati Abu Dzar. Dia sendiri keluar untuk mencari kenyataan.
Setibanya di Makkah, dia terus ke Baitul Haram. Pada waktu itu dia tidak kenal Nabi SAW, dan melihat keadaan pada waktu itu dia merasa takut hendak bertanya mengenai Nabi SAW. Ketika menjelang malam, dia dilihat oleh Ali RA. Oleh kerana ia seorang musafir, Ali terpaksa membawa Abu Dzar ke rumahnya dan melayani Abu Dzar sebaik-baiknya sebagai tamu. Ali tidak bertanya apa pun dan Abu Dzar tidak pula memberitahu Ali tentang maksud kedatangannya ke Makkah.
Pada keesokkan harinya, Abu Dzar pergi sekali lagi ke Baitul Haram untuk mengetahui siapa dia Muhammad. Sekali lagi Abu Dzar gagal menemui Nabi kerana pada waktu itu orang-orang Islam sedang diganggu hebat oleh orang-orang kafir musyrikin.
Pada malam yang keduanya, Ali membawa Abu Dzar ke rumahnya. Pada malam itu Ali bertanya: “Saudara, apakah sebabnya saudara datang ke kota ini?” Sebelum menjawab Abu Dzar meminta Ali berjanji untuk berkata benar. Kemudian dia pun bertanya kepada Ali tentang Nabi SAW. Ali berkata: “Sesungguhnya dia lah pesuruh Allah. Esok engkau ikut aku dan aku akan membawamu menemuinya. Tetapi awas, bencana yang buruk akan menimpa kamu kalau hubungan kita diketahui orang. Ketika berjalan esok, kalau aku dapati bahaya mengancam kita, aku akan berpisah agak jauh sedikit dari kamu dan berpura-pura membetulkan sepatuku. Tetapi engkau terus berjalan supaya orang tidak curiga hubungan kita.”
Pada keesokkan harinya, Ali pun membawa Abu Dzar bertemu dengan Nabi SAW. Tanpa banyak tanya jawab, dia telah memeluk agama Islam. Kerana takut dia diapa-apakan oleh musuh, Nabi SAW menasihatkan supaya cepat-cepat balik dan jangan mengkhabarkan keislamannya di khalayak ramai. Tetapi Abu Dzar menjawab dengan berani: “Ya Rasullulah, aku bersumpah dengan nama Allah yang jiwaku di dalam tanganNya, bahawa aku akan mengucap dua kalimah syahadah di hadapan kafir-kafir musyrikin itu.” Janjinya kepada Rasulullah SAW ditepatinya.
Selepas ia meninggalkan baginda, dia mengarah langkah kakinya ke Baitul Haram di hadapan kaum musyrikin dan dengan suara lantang dia mengucapkan dua kalimah syahadah. “Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan aku bersaksi bahawa Muhammad itu pesuruh Allah.”

Tatkala mendengar ucapan Abu Dzar itu, orang-orang kafir pun menyerbunya lalu memukulnya. Kalau tidak kerana Abbas, bapa saudara Nabi yang ketika itu belum Islam, tentulah Abu Dzar menemui ajalnya di situ. Kata Abbas kepada orang-orang kafir musyrikin yang menyerang Abu Dzar: “Tahukah kamu siapa orang ini? Dia adalah keturunan Al Ghifar. Khafilah-khafilah kita yang pulang pergi ke Syam terpaksa melalui perkampungan mereka. Kalaulah ia dibunuh, sudah tentu mereka menghalangi perniagaan kita dengan Syam.”
Pada hari berikutnya, Abu Dzar sekali lagi mengucapkan dua kalimah syahadah di hadapan orang-orang kafir Quraisy dan pada kali ini juga ia telah diselamatkan oleh Abbas. Keghairahan Abu Dzar mengucapkan dua kalimah syahadah di hadapan kafir Quraisy sungguh-sungguh luar biasa jika dikaji dalam konteks larangan Nabi SAW kepadanya. Apakah dia boleh dituduh telah mengingkari perintah Nabi? Jawabannya tidak.
Dia tahu bahawa Nabi SAW sedang mengalami penderitaan yang berbentuk gangguan dalam usahanya ke arah menyebarkan agama Islam. Dia hanya hendak menunjukkan Nabi SAW walaupun ia mengetahui, dengan berbuat demikian dia melibatkan dirinya dalam bahaya. Semangat keislamannya yang beginilah yang telah menjadikan para sahabat mencapai puncak keimanan dalam alam lahiriyah serta batiniyah. Keberanian Abu Dzar ini selayaknya menjadi contoh kepada umat Islam dewasa ini dalam rangka usaha mereka menjalankan dakwah Islamiyah. Kekejaman, penganiyaan serta penindasan tidak semestinya boleh melemahkan semangat mereka yang telah mengucapkan dua kalimah syahadah.



 

Teratak Wihdah Copyright © 2009 Flower Garden is Designed by Ipietoon for Tadpole's Notez Flower Image by Dapino